Norhayati Nordin


PENYANYI Nora Ariffin, 45, lega apabila dapat merealisasikan hasrat terakhir arwah suaminya untuk melancarkan album kompikasi istimewa, Tribute 30 Tahun Johan Nawawi.

Nora berkata, perancangan untuk menghasilkan album kompilasi karya terbaik Johan Nawawi itu sudah dirancang oleh Allahyarham sejak 2016 lagi

"Namun, Allah SWT lebih tahu segalanya dan kini sudah setahun tiga bulan Allahyarham Johan meninggalkan dunia ini.

"Terus-terang, saya sebenarnya tidak pernah terfikir akan memberi ucapan untuk album istimewa Tribute 30 Tahun Johan Nawawi.

"Malah, tidak saya duga akan berdiri seorang seperti ini kerana dulu Johan sentiasa berada di sisi," katanya.

Menurut Nora lagi, siapalah dirinya tanpa insan bernama Johan Nawawi. Ujarnya, pada hari ini walaupun arwah sudah tiada tetapi apa yang ditinggalkan sangat dihargai.

"Apapun, saya adalah insan yang sekadar menumpang kasih pada Johan dan kini meneruskan pula silaturrahim yang ditanggalkan arwah.

"Namun, paling utama buat saya sudah tentu perasaan lega kerana dapat merealisasikan impian Johan untuk menghasilkan album kompilasi ini.

"Ia album kompilasi istimewa kedua yang memuatkan karya terbaik ciptaan arwah selepas pernah menghasilkan album kompilasi pertama, Jentayu sekitar 1990- an dulu," katanya.

Pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin ini berkata jika dia mahu memilih untuk terus berdiam diri dan tidak buat apa-apa, boleh saja tetapi lebih baik album istimewa itu dihasilkan juga.

Jelasnya, semoga karya ditinggalkan arwah Johan dalam industri seni terus diingati dan segar diingatan ramai.

Untuk rekod, Nora berkenalan dengan Allahyarham Johan pada 1991 dan mereka akhirnya mendirikan rumah tangga pada 1993.

Selama 25 tahun hidup bersama, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Mohd Syakir Iman, 24, Mohd Syakir Alif, 19; Putri Nur Dahlia, 14; dan Putri Nur Fatehah, 6.

Johan, 53, yang juga penerbit dan komposer berbakat meninggal dunia pada 24 Mac 2017 kerana serangan jantung di pusat perubatan di Subang Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 5:25 PM
NORA pada majlis Pelancaran Album Tribute 30 Tahun Johan Nawawi. FOTO Mahzir Mat Isa