Paris: Lille mengharungi musim mengecewakan awal pagi semalam apabila tersingkir daripada saingan Piala Perancis selepas ditewaskan seteru Ligue 1, Bastia.

Dua jaringan Floyd Ayite pada separuh masa pertama memberikan kemenangan 2-0 di Corsica dan menyebabkan Lille, yang sudah tersingkir dari pentas Eropah dan merana pada pertengahan liga, menamatkan cabaran.

Skuad kendalian Rene Girard bukan pasukan tunggal Ligue 1 yang tersingkir pada pusingan pertama apabila Nice ditewaskan 0-2 pasukan Ligue 2, Valenciennes pada hari yang sama mereka mengumumkan sudah mendapat persetujuan untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Perancis, Hatem Ben Arfa.

Manakala Lorient ditewaskan 0-1 kelab bahagian tiga, Avranches di Normandy namun Evian, Reims dan Nantes meraih kemenangan menentang kelab divisyen enam.

Nantes melakar kemenangan 4-0 menentang Club Franciscain, yang mahu muncul kelab pertama dari kepulauan Martinique mara dalam kelompok 32 terakhir.

Paris Saint-Germain beraksi awal pagi esok menentang Montpellier, yang menang 2-1 apabila kedua-dua pasukan bertemu di Parc des Princes, 32 tahun lalu. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:09 AM