MARCO Verratti (kiri) dan Presnel Kimpembe seakan tidak percaya mereka tumpas 1-2 kepada Nantes. FOTO AFP
MARCO Verratti (kiri) dan Presnel Kimpembe seakan tidak percaya mereka tumpas 1-2 kepada Nantes. FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint Germain (PSG) terlepas peluang untuk melonjak ke tangga teratas Ligue 1 selepas tumpas mengejut 1-2 kepada Nantes, sekali gus membolehkan Lille kekal di kedudukan pendahulu walaupun seri tanpa jaringan dengan Monaco.

Penyandang juara itu mempunyai peluang untuk merampas kedudukan teratas dari Lille melalui perbezaan jaringan namun gol Randal Kolo dan Moses Simon mengubah segala-galanya.

Dua gol berkenaan memadam jaringan pendahuluan yang dilakukan oleh Julian Draxler dan ia juga adalah kekalahan keempat PSG di laman sendiri.

Lille kekal di tangga teratas dan memiliki kelebihan tiga mata mengatasi PSG dan Lyon, yang hanya mampu seri ketika berdepan Reims.

Nantes berjaya keluar dari zon penyingkiran automatik selepas mencatat kemenangan kelima mereka musim ini.

"Kami bermain baik pada separuh masa pertama, mengawal permainan dan malah mempunyai peluang menjaringkan gol kedua. Bagaimanapun, selepas gol penyamaan pasukan lawan kami bergelut," kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino.

Pochettino melakukan lima pertukaran selepas mengetepikan Barcelona pertengahan minggu lalu untuk menempah slot suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 11:42 AM