Pemain tengah Marseille, Dimitri Payet dikasari pemain Montpellier pada aksi Piala Perancis. FOTO AFP
Pemain tengah Marseille, Dimitri Payet dikasari pemain Montpellier pada aksi Piala Perancis. FOTO AFP
AFP

Paris: Pasukan Divisyen Empat, Versailles mara ke suku akhir Piala Perancis selepas mencatat kemenangan mengejut ke atas pendahulu Ligue 2, Toulouse, 1-0.

Ia adalah musim keempat berturut-turut pasukan dari Divisyen Empat mara ke kelompok lapan terakhir.

"Tugas saya adalah untuk terus memastikan pasukan beraksi dengan baik sekalipun saya sedar kami baru sahaja menyingkirkan pendahulu Ligue 2 di gelanggang mereka," kata jurulatih Versailles, Youssef Chibhi.

"Kelayakan ini tidak dijangka. Ketika kami mara ke pusingan seterusnya, kami berjaya memperkemaskan permainan. Semangat pemain terus memuncak. Saingan Piala Perancis memberi aura tersendiri."

Toulouse menjadi tuan rumah kerana Stadium Versailles tidak memenuhi standard yang ditetapkan bagi saingan 16 terakhir ketika hampir keseluruhan perlawanan kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain selepas Steve Mvoue menerima kad merah pada minit ke-21.

Pasukan tuan rumah menguasai perlawanan namun Versailles memanfaatkan peluang terbaik 11 minit sebelum tamat perlawanan apabila Kapit Djoco meledak jaringan dari jarak dekat.

Kelab amatur itu berjaya mempertahankan kedudukan sekalipun Melvyn Vieira dilayangkan kad merah dalam masa kecederaan.

Sementara itu, Marseille juga mara apabila menang menerusi penentuan penalti ke atas Montpellier selepas seri 1-1 dalam aksi di Stade Velodrome.

Pemain remaja yang dimasukkan sebagai pemain gantian, Beni Makouana meledak gol penyamaan pada minit ke 80 bagi memadam kelebihan jaringan pembukaan pemain Marseille, Arkadiusz Milik.

Perlawanan yang ditentukan menerusi penalti menyaksikan Dimitri Payet menyempurnakan sepakan terakhir untuk memastikan kemenangan mereka.

Pasukan Divisyen Dua, Bastia turut mara menerusi penentuan penalti selepas seri 1-1 menentang Reims.

Kelab The Corsicans, yang tersingkir ke Divisyen Lima pada 2017 selepas berdepan masalah kewangan, mara ke kelompok lapan terakhir buat pertama kali sejak tewas pada final 2002 kepada Lorient.

Dalam pada itu, Amiens menewaskan seteru di Ligue 2, Nancy 2-0 untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 8:02 AM