PEMAIN  Titans    Dilshod Sharofetdinov (kiri) diasak pemain PKNP FC    di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.
PEMAIN Titans Dilshod Sharofetdinov (kiri) diasak pemain PKNP FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Kuala Terengganu: Pendatang baru saingan Piala Malaysia musim ini, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC mencipta kejutan dengan mencalar maruah T-Team menerusi kemenangan 2-1 dalam aksi sulung Kumpulan A di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Malah, lebih menggembirakan buat skuad yang juga pendatang baru Liga Perdana itu apabila mencatat kemenangan di laman lawan ke atas pasukan Liga Super yang pernah layak ke separuh akhir musim lalu.

“Kami datang ke Kuala Terengganu dengan misi mengutip sekurang-kurangnya satu mata kerana sedar lawan antara pasukan berkualiti.

“Tapi kejayaan ini adalah bonus buat kami lebih-lebih lagi beraksi di stadium lawan,” kata jurulatih PKNP FC Abu Bakar Fadzim (gambar).

Ketika ditanya faktor kemenangan pasukannya yang hanya menurunkan tiga berbanding empat import The Titans, Abu Bakar menyatakan kejayaan itu hasil disiplin tinggi dipamerkan anak buahnya.

“Selain itu, pemain kami cukup bersabar dan bertahan serta menanti peluang terbaik untuk meledak jaringan biarpun majoriti pemain tidak pernah beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

Sementara itu, pengendali T-Team Rahmad Darmawan mengaku faktor kecergasan pemain menjadi punca mereka diaibkan PKNP.

Jurulatih kelahiran Indonesia itu turut mengaku corak permainan tidak tersusun pemainnya juga menyumbang kepada kekalahan berkenaan.

“Apa yang membezakan kami dengan PKNP malam ini (kelmarin) adalah tahap kecergasan. Selain itu, lawan beraksi lebih agresif berbanding kami yang jelas keletihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 9:52 AM