RASID   (kiri) menerima cenderamata   disampaikan  Cameron.
RASID (kiri) menerima cenderamata disampaikan Cameron.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Pasukan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (T-Team) terus mengorak langkah apabila menjadi kelab pertama Asia menandatangani memorandum persefahaman bersama 1Malaysia Connecting Communities (1MCC).

Memorandum persefahaman itu bertujuan merealisasikan pembangunan bola sepak remaja Terengganu dengan lebih berstruktur melalui Akademi Bola Sepak Young Titans (YTFA).

1MCC yang turut bekerjasama dengan 10 kelab terkemuka dunia termasuk West Ham United FC, UC Sampdoria, Utrecht FC dan Charlton Athletic FC diharap mampu memberi pendedahan selain mengubah corak permainan dan kemahiran sedia ada pemain bola sepak remaja di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat berkata, T-Team berasa bertuah apabila 1MCC bersedia bekerjasama demi melahirkan pemain bola sepak berbakat dan bertaraf bintang.

“Kami akan manfaatkan sebaik mungkin peluang termasuk kepakaran 1MCC untuk menjadikan jenama Titans lebih dikenali di persada bola sepak antarabangsa.

“Latihan dan pembelajaran menyeluruh akan dipraktik serta diguna pakai YTFA untuk memastikan kemahiran pemain remaja yang mendapat latihan di akademi ini dapat dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman T-Team bersama 1MCC di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Turut hadir, Jurulatih Pembangunan Remaja 1MCC Jordan Humphrey dan Jurulatih YTFA Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor.

Pada majlis berkenaan, T-Team diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Ab Rasid Jusoh manakala 1MCC diwakili Ketua Pegawai Operasinya Cameron Ng.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:07 AM