PEMAIN T-Team,  Hakim Hassan meraikan kejayaan mara ke pusingan ketiga Piala FA bersama penjaga gol,  Izzuddin Muhammat Hussin.
PEMAIN T-Team, Hakim Hassan meraikan kejayaan mara ke pusingan ketiga Piala FA bersama penjaga gol, Izzuddin Muhammat Hussin.
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Biarpun bukan aksi final tetapi perang psikologi antara dua pasukan bersaudara T-Team dan Terengganu untuk menentukan pasukan mana yang layak digelar ‘jaguh kampung’ seterusnya melangkah ke suku akhir Piala FA sudah bermula menjelang aksi pusingan ketiga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Pertembungan itu juga dilihat menarik minat penyokong tegar kedua-dua pasukan yang mungkin akan berbelah bagi untuk menyokong pasukan ‘adik’ (T-Team) atau pasukan ‘abang’ (Terengganu).

Bagi penolong ketua jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim awal-awal lagi menyatakan skuadnya tidak ada resipi berbeza untuk menumbangkan pasukan ‘abang’ sebaliknya ramuan sama yang diterapkan dalam aksi sebelum ini akan dipertaruhkan dalam perlawanan itu.

Malah jurulatih itu juga bagaikan tidak mahu merahsiakan taktikal yang akan digunakan dalam pertembungan kalah mati itu biarpun sedar Terengganu yang beraksi dalam Liga Perdana pasti turun dengan kekuatan berbeza dalam misi untuk melayakkan diri ke suku akhir.

“Memang kami berhajat untuk menang walaupun pertemuan adik-beradik itu di stadium yang sama, tapi kami tidak menerapkan strategi dan taktikal istimewa dalam aksi itu sebaliknya kami akan menerapkan formula seperti perlawanan sebelum ini.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kami akan mengambil mudah, saya sudah maklumkan kepada pemain walaupun tidak ada ramuan istimewa tapi kami tetap berwaspada taktikal skuad Penyu yang mungkin boleh membawa padah jika kami terlalu yakin,” ujar Azhari yang percaya anak buahnya mampu memperagakan aksi mantap untuk menjerat lawan.

Berdasarkan statistik pertemuan dalam aksi Liga Super musim lalu, skuad Peteh Terengganu Peteh berjaya merakam kemenangan 2-1 pada aksi kedua selepas seri 0-0 pada aksi pertama.

Mengulas lanjut Azhari turut mengakui faktor tiada tekanan dalam kalangan pemainnya biarpun menjadi tuan rumah akan menambah semangat anak buahnya untuk memperagakan aksi terbaik di laman keramat itu.

“Selain itu kehadiran peminat setia pasukan walaupun mungkin akan berkongsi jumlah penonton dengan pasukan Terengganu sedikit sebanyak akan menyemarakkan lagi pemain untuk membuktikan kemampuan sebenar,” katanya.

Kelmarin, ketua jurulatih Terengganu Irfan Bakti Abu Salim menuntut pemainnya bekerja keras selain mengharapkan jentera peledaknya perlu bijak menghidu peluang dan lebih tajam bagi memastikan pintu gol pasukan T-Team berjaya dibolosi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 8:48 AM