NAM Kung (kiri) diasak  ketua pasukan T-Team Faramola David Oniya.
NAM Kung (kiri) diasak ketua pasukan T-Team Faramola David Oniya.
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh

The Bos Gaurus berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menundukkan T-Team di Stadium Perak 2-1, malam tadi.

Gol tuan rumah dijaringkan pemain importnya Woong Nam Kung pada minit ke-16 dan 31, manakala pelawat beroleh gol hasil jaringan awang importnya Farhod Tadjiev.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan T-Team berjaya mendahului m-14 hasil rembatan cantik Tadjiev dalam kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gawang Zamir Selamat.

Kegembiraan pelawat bagaimanapun hanya bertahan selama dua minit apabila Nam Kung menanduk masuk bola hantaran lintang Ahmad Khairil Anuar ke gawang T-Team hasil serangan pantas tuan rumah.

Jaringan penyamaan itu nyata menyemarakkan lagi semangat anak buah Datuk M Karathu dengan serangan diperhebatkan lagi dan Thiago Junio Aquino yang juga kapten pasukan hampir menggandakan gol m-19.

Peluang keemasan T-Team untuk menjarakkan kedudukan hadir m-21, namun rembatan kencang Mohd Nor Hakim ditepis keluar penjaga gawang tuan rumah.

Nam Kung bertindak cemerlang menjaringkan gol m-31 melalui rembatan kencang dari dalam kotak penalti menewaskan Mohd Shahril Saari buat kali kedua.

Kedua-dua pasukan semakin panas pada babak kedua dan situasi itu terbukti apabila pemain pelawat dan tuan rumah dilayangkan kad merah pada m-67 oleh pengadil perlawanan Muhammad Nazmi Nasarudin.

Pemain T-Team Mohd Nor Hakim dan pemain Perak Syazwan Roslan diperintah keluar padang selepas kedua-duanya didapati bergaduh.

Walaupun kedua-dua pasukan terpaksa bermain dengan 10 pemain, serangan bertali arus terus dilancarkan dan hasilnya Tadjiev menjaringkan gol pada minit terakhir perlawanan namun jaringan itu dibatalkan selepas penjaga garisan mendapati dia dalam kedudukan ofsaid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:30 AM