PESERTA bersedia di garisan permulaan.
PESERTA bersedia di garisan permulaan.
PESERTA melalui laluan tanah merah.
PESERTA melalui laluan tanah merah.
Mohd Azam Shah Yaacob

mohdazam2hmetro.com.my

Meredah laluan lasak sejauh 50 kilometer (km) memang bukan sesuatu yang mudah. Ini kerana jarak itu akan membuatkan sesiapa saja ‘patah semangat’ berikutan merasakan seperti berkayuh tanpa penghujung. Itu yang dirasai 830 peserta cabaran Merlimau Hello Sawit Jamboree 2017 di Merlimau, Melaka baru-baru ini.

Namun, sudah namanya cabaran basikal lasak, ketahanan untuk berkayuh dalam trek yang sukar serta jauh memang elemen utama dalam setiap perlumbaan.

Jika tidak bersedia dari aspek mental, fizikal selain kawalan pernafasan serta teknik basikal, alamatnya memang tertinggal di belakang.

Bagaimanapun, Merlimau Hello Sawit Jamboree yang pertama kali diadakan memang cukup menarik kerana cabaran yang ditempuh tidaklah terlalu sukar tetapi cukup membuat peserta tercungap-cungap.

Mana tidaknya, dalam cabaran yang dimulakan jam 8 pagi itu, peserta terlebih dulu ‘dihidangkan’ dengan laluan bertar sejauh tujuh kilometer yang menyaksikan kebanyakan peserta mengambil peluang untuk memecut.

Tetapi, sebaik memasuki kawasan ‘off road’ ladang kelapa sawit, perlahan-lahan semangat peserta luntur apabila merempuh lebih 15 kawasan dengan cabaran bukit kecil atau ‘rolling hills’.

Biarpun bukit kecil itu hanya setinggi setengah hingga satu meter, ia sudah cukup membuatkan peserta merungut ‘bila mahu sampai’ ke garisan penamat.

Timbalan Presiden Merlimau Riders Club (MRC) Rashid Samah berkata, cabaran basikal lasak anjuran bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama Merlimau Riders Club itu adalah julung kali diadakan.

Tahap kesukaran bagi cabaran itu pula pada skala ‘intermediate’ atau pertengahan, namun cukup untuk peserta menguji kekuatan fizikal dan mental mereka.

“Dalam cabaran ini, memang tak ada bukit tinggi, trek curam, laluan berlumpur atau berselut dan tiada anak sungai sebagaimana kejohanan basikal lasak lain yang sering diadakan.

“Cabaran kita hanya kawasan rolling hills, laluan sempit single track dan trek tanah merah dalam ladang kelapa sawit.

“Sebabnya dalam kejohanan basikal lasak lain, trek lazimnya hanya sejauh 35km tapi cabaran memang sukar dan untuk Merlimau Hello Sawit Jamboree ini adalah sebaliknya iaitu cabaran tidak terlalu sukar tapi treknya sejauh 50km,” katanya.

Kemampuan peserta berbasikal dalam jarak sejauh 50km itulah menjadi penentu siapa mampu bertahan dan muncul juara. Dalam cabaran itu 70 peratus trek adalah laluan lasak ‘off road’ kelapa sawit, manakala selebihnya laluan bertar iaitu tujuh kilometer pertama ketika peserta dilepaskan dan lima kilometer terakhir sebelum garisan penamat.

Menurut Rashid, biarpun cabaran basikal lasak itu pertama kali diadakan, ia boleh dibanggakan berikutan 30 peratus peserta datang dari Singapura.

“Sebenarnya, sewaktu kita membuat promosi cabaran basikal lasak ini, sasaran kita hanya 500 peserta tempatan saja. Tapi tak sangka boleh dapat sehingga 830 peserta termasuk dari Singapura. Malah, lebih membanggakan ada peserta membabitkan golongan ekspatriat di negara ini dan Singapura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:02 AM