AKSI pelepasan.
AKSI pelepasan.
PETUGAS menampal pelekat pada basikal peserta ketika melepasi check point.
PETUGAS menampal pelekat pada basikal peserta ketika melepasi check point.
 GELAGAT peserta menolak basikal ketika mendaki di kawasan Bukit Lenguh.
GELAGAT peserta menolak basikal ketika mendaki di kawasan Bukit Lenguh.
 AKSI peserta yang berjaya menamatkan kayuhan.
AKSI peserta yang berjaya menamatkan kayuhan.
ANGGOTA bomba membantu membersihkan basikal peserta yang kotor.
ANGGOTA bomba membantu membersihkan basikal peserta yang kotor.
Syahid Sokri


Bermula dengan ‘makan angin’, acara sukan basikal lasak Jamboree Bike Challenge PDRM Kedah yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Jitra, baru-baru ini bertukar hangat apabila peserta menghadapi pelbagai cabaran yang menguji mental dan fizikal.

Selepas menempuh tujuh kilometer pertama, 160 peserta menempuh laluan menuruni bukit di Kampung Huma sebelum masuk ke laluan ‘off road’.

Bermula di sini, peluang ‘makan angin’ tamat sebaliknya mereka perlu menukar gear tinggi dan rendah meredah kawasan bukit yang berselang-seli untuk menamatkan kayuhan sejauh 40 kilometer.

Laluan itu satu cabaran yang berbeza kerana mereka perlu mahir dari segi teknikal dan tidak sekadar kekuatan fizikal.

Selain itu, kebolehan mengendalikan basikal dalam keadaan ekstrem turut diuji kerana trek basah dan licin membuatkan peserta perlu berhati-hati ketika mengambil selekoh dengan laju terutama apabila memasuki kawasan kampung.

Kemuncaknya peserta diuji ketika menaiki trek Bukit Lenguh dengan kecondongan 45 darjah membuatkan banyak peserta mengalah dan menolak basikal ke puncak bukit.

Namun, ada beberapa yang bersedia dari awal mampu mencabar bukit berkenaan menerusi kemahiran menukar gear.

Sekitar 20 minit, kebanyakan peserta sudah berjaya sampai di check point ketiga dan selepas kawasan ini mereka perlu menempuh laluan fast trek yang memberi saingan kepada mental dan fizikal .

Di laluan itu, ada yang tersungkur akibat silap percaturan menentukan kekuatan brek kerana trek licin disebabkan hujan pada malam sebelumnya.

Keadaan trek yang mempunyai pelbagai bentuk muka bumi memberikan pengalaman baru buat peserta kerana dalam masa yang sama mereka diuji dalam kepantasan mengatur gerak kayuhan sepanjang perlumbaan.

Biarpun cukup lasak, semangat kesukanan kebanyakan peserta termasuk yang baru berjinak dalam sukan itu perlu diberi pujian kerana mampu menamatkan perlumbaan dengan baik.

Ini diakui oleh seorang peserta baru sukan basikal lasak, Salehuudin Ramli, 34, dari Alor Setar yang berpendapat trek berkenaan sesuai biarpun untuk pelumba sepertinya.

“Ini adalah pengalaman pertama saya mengikuti perlumbaan lasak seperti ini. Biarpun selepas tujuh kilometer pertama hingga ke garisan penamat cabaran hebat, tapi rasanya ia sesuai untuk pelumba baru seperti saya mengaut pengalaman,” katanya.

Menurut Salehuudin, dia menyertai perlumbaan itu bukan untuk menang sebaliknya memeriahkan serta merasai kehebatan sukan berkenaan.

“Kalau kita tak cuba memang kita tak tahu apa nikmatnya sukan basikal lasak ini.

“Macam saya, nikmat berlumba ini saya peroleh bila dapat menempuh pelbagai halangan halangan yang ada dan paling utama apabila dapat menamatkan kayuhan. Terasa satu kepuasan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Samsul Omar, 34, berkata cabaran di trek yang disediakan memberi satu kelainan apabila terpaksa mendaki Bukit Lenguh yang pastinya menguji mental dan fizikal peserta.

“Cabaran mendaki bukit berkenaan tidak akan saya lupa dan ia akan dijadikan sebagai satu dorongan untuk berusaha meningkatkan lagi stamina dan kecergasan diri.

“Walaupun sudah membuat persediaan secukupnya, tetapi saya masih lagi tidak mampu mendaki sebaik mungkin kerana terpaksa turun dan menolak basikal akibat kaki terlalu sakit.

“Memang wajar ia digelar Bukit Lenguh kerana ramai peserta tidak berdaya untuk mendakinya dengan menunggang basikal dan ada yang terjatuh ketika cuba mendakinya,” katanya.

Katanya, cabaran kali ini disifatkan antara yang terbaik kerana menghimpunkan ramai peserta termasuk mereka yang mempunyai nama dalam arena sukan basikal negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:02 AM