LALUAN sungai turut
LALUAN sungai turut
BENZ Ken menolak
BENZ Ken menolak
ANTARA laluan lasak
ANTARA laluan lasak
Oleh Omar Osman

Satu ketika dulu, Lembah Bujang terkenal sebagai pusat perdagangan hebat sehingga menjadi tumpuan pedagang dari seluruh benua. Selepas ratusan tahun, kawasan ini terus hidup apabila kini menjadi lokasi pilihan sukan basikal lasak.

Dengan bentuk bumi berbukit, landai, berpaya dan hutan semula jadi, trek laluan Lembah Bujang menjanjikan pengalaman mencabar, sekali gus menguji keupayaan serta ketahanan fizikal mahu pun mental penggemar sukan basikal lasak.

Kelebihan Lembah Bujang dimanfaat sepenuhnya Kelab Berbasikal Lembah Bujang (Bujang Cyclists) dengan menganjurkan Jamboree Mountain Bike (MTB) Lembah Bujang 2014 bagi memperkenalkan trek di kawasan itu sebagai lokasi penganjuran sukan basikal lasak.

Acara Jambori MTB Lembah Bujang 2014 yang turut mendapat kerjasama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok menarik penyertaan 650 peminat sukan itu bagi menguji keupayaan mereka.

Malah, yang menarik mengenai jamboree ini adalah apabila peserta perlu meredah laluan bukit berbatu, paya, sungai, ladang kelapa sawit selain laluan berlumpur sejauh 43 kilometer.

Peserta Nur Fatin Afisya Hamzah, 18, dari pasukan Extragear, Pulau Pinang berkata, trek yang menjadi laluan aktiviti berkenaan sangat mencabar dan peserta terpaksa memerah keringat bagi melepasi halangan di sepanjang trek.

"Sepanjang menyertai sukan basikal lasak, trek ini antara yang terbaik di Lembah Bujang kerana ia hampir sama dengan trek ketika Kejohanan Harian Metro Moutain Bike (MTB) Grand Prix yang diadakan tahun lalu.

"Pada peringkat awal lagi cabaran tersedia depan mata apabila saya dan peserta lain perlu mendaki bukit dengan jalan berlubang yang hanya boleh dilalui sebuah basikal pada satu-satu masa, menyebabkan kami terpaksa menolak basikal.

"Malah, ketika menuruni bukit, ramai rakan jatuh kerana laluan licin, namun saya anggap ia sebenarnya mampu mengasah skil seseorang itu dalam aspek kawalan.

"Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati kerana berjaya melepasi halangan sepanjang trek biarpun adakalanya terpaksa menolak basikal ketika mahu melepasi sungai dan bukit licin. Saya pasti me­nyertai pertandingan seperti ini jika diadakan lagi pada masa depan," katanya.

Peserta veteran Benz Ken, 49, dari Kuala Ketil, Baling berkata, pengunaan basikal jenama 9 zero 7 dengan tayar sebesar empat inci yang ditunggangi memberi kelebihan kepadanya kerana mampu meredah laluan berbukit, licin, anak sungai serta berlumpur.

"Saya mampu melepasi halangan kerana tayar besar banyak membantu. Trek di sini memang bagus kerana saya dan semua peserta lain perlu mengerah segala tenaga sebelum menamatkan perlumbaan.

"Saya berharap lebih banyak acara sebegini dianjurkan di kawasan Lembah Bujang kerana trek di sini bukan saja mencabar, malah kami dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang membuatkan sesiapa saja bersyukur akan kenikmatan diberi Allah," katanya.

Presiden Bujang Cyclists, Mohd Hafiez Abu Zarin, 42, berkata, semua peserta perlu melalui trek berlubang dan mendaki bukit berbatu setinggi 150 meter serta menuruni laluan bukit yang curam dan licin sebelum memasuki kawasan ladang kelapa sawit.

Katanya, selepas itu peserta terus berdepan cabaran kerana terpaksa meredah anak sungai dan parit sebelum mendaki bukit menegak yang licin. Peserta perlu menolak atau memikul basikal bagi melepasi cabaran ini walaupun bukit dilihat rendah.

"Malah, ada peserta terpaksa dibantu ketika melalui bukit itu akibat kehabisan tenaga selepas memerah keringat melalui trek sebelumnya yang mencabar.

"Lebih menarik, tujuh kilometer terakhir memerlukan peserta meredah laluan ladang getah, mendaki bukit dan laluan berlumpur di ladang kelapa sawit selain melalui kawasan sejarah Sungai Batu sebelum menamatkan acara di padang MRSM Merbok.

"Setakat ini, maklum balas diterima daripada peserta sangat baik, di mana mereka teruja kerana trek disediakan mencabar fizikal dan mental. Biarpun ada yang terjatuh dan cedera serta basikal patah, namun semua itu tidak menghalang mereka menamatkan perlumbaan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan kedudukan Lembah Bujang yang mempunyai bentuk muka bumi berbukit bukau serta hutan semula jadi, pasti ia sesuai dijadikan trek bagi penganjuran sukan basikal lasak pada masa depan dan Bujang Cyclists sedia membantu.

Katanya, melalui penganjuran MTB Lembah Bujang 2014, pihaknya mahu penggemar sukan basikal lasak mengetahui Lembah Bujang memiliki trek hebat, sekali gus berharap lebih ramai pihak menganjurkan sukan itu di kawasan ini.

"Dalam usaha mempromosikan Lembah Bujang, saya juga berharap Harian Metro membawa kembali Kejohanan MTB Harian Metro Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia ke lokasi ini kerana bukan sekadar mahu ia dikenali dari sudut sejarah, tetapi juga aktiviti sukan basikal lasak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 6:37 AM