FELDA perlu lebih ramai pemain untuk harungi Piala AFC.
FELDA perlu lebih ramai pemain untuk harungi Piala AFC.

Kuala Lumpur: FELDA United yang akan tampil di Piala AFC buat kali pertama menjelaskan naib juara Liga Super itu tidak akan berbelanja besar musim depan.

Penaung kelab Tan Sri Isa Samad berkata, keadaan semasa tidak mengizinkan mereka untuk mengeluarkan lebih banyak dana untuk membeli pemain baharu.

“Pihak kelab sedang merencana perancangan dengan lebih baik musim depan termasuk pertukaran pemain dan sebagainya. Ia masih belum diputuskan sepenuhnya.

“Namun, kita tidak berhasrat untuk berbelanja besar, kita mahu berjimat. Kita mahu kekalkan keadaan sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, Isa menjelaskan FELDA United mungkin memerlukan pemain yang lebih ramai kerana perlu bersaing di peringkat Asia tahun depan selain saingan domestik.

FELDA United gagal mencapai sasaran untuk meraih sekurang-kurang satu kejuaraan musim ini sehingga menyaksikan jurulatihnya Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan.

“Kita tidak gagal sepenuhnya. Kemampuan bergelar naib juara Liga Super adalah satu kejayaan sebagai pasukan yang berstatus kelab,” tambahnya.

Menurut beliau, sasaran untuk menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan akan diteruskan pada musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 9:58 AM