KEN Ilso  (kiri) membuat percubaan ke gawang Melaka.
KEN Ilso (kiri) membuat percubaan ke gawang Melaka.
Izzali Ismail


Alor Setar: Kebangkitan didamba pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe menjadi kenyataan apabila pemainnya langsung tidak memberi ruang ketika membelasah pendatang baru Melaka United 4-0 di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Sekali gus kejayaan mempertahan rekod tanpa kalah setakat ini dalam aksi Liga Super menyaksikan skuad Lang Merah kembali menerajui takhta liga dengan mengumpul 18 mata.

“Aksi konsisten dan bersemangat yang ditampilkan semua pemain membolehkan kita meraih tiga mata penuh hasil kemenangan 4-0 pada perlawanan ini.

“Memang saya tidak jangka kita memperoleh kemenangan besar apatah lagi Kedah turun tanpa beberapa tonggak utama seperti Baddrol Bakhtiar, Fakri Saarani, Syafiq Ahmad dan Farhan Roslan cedera.

“Namun, semua pemain yang diturunkan bermain dengan baik termasuk pemain muda yang semakin meyakinkan,” katanya.

Cheng Hoe turut memuji aksi hebat dua bintang import Kedah, Ken Ilso dan Sandro da Silva apabila masing-masing menyumbang dua gol dan semua pemainnya yang bertungkus-lumus untuk memastikan kemenangan bergaya pasukan.

“Kami memang mengharapkan serangan dan jaringan seperti yang dihasilkan oleh Ilso dan Sandro dan yang penting pemain lain juga sangat membantu dengan hantaran yang tepat dan berkualiti untuk jaringan,” katanya.

Mengulas prestasi Sandro yang semakin meningkat dengan sumbangan dua gol, beliau berkata, pemain itu kembali mempamerkan permainan yang meyakinkan selepas pulih dari kecederaan dan direhatkan dalam dua perlawanan lalu.

“Selepas Sandro menjaringkan satu gol sewaktu bertemu Selangor, dia nampak lebih bermotivasi dan hasil dari semangat itu dibuktikannya pada perlawanan malam ni (kelmarin).

“Walau jadual perlawanan padat, saya harap semua pemain mendapat kekuatan mental dan lonjakan motivasi selepas mendapat keputusan yang positif dalam lapan perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 9:10 AM