Cheng Hoe rancang turunkan skuad kedua lawan PKNP di Ipoh. FOTO fail HM
Cheng Hoe rancang turunkan skuad kedua lawan PKNP di Ipoh. FOTO fail HM
BERNAMA

Alor Setar: Kelebihan jaringan besar diraih Kedah memberi keyakinan kepada pengendalinya Tan Cheng Hoe untuk menurunkan barisan keduanya dalam aksi suku akhir kedua Piala FA berdepan PKNP FC pada 22 April nanti.

Bukan niat menyombong tetapi bagi Cheng Hoe kemenangan 6-1 pada aksi pertama di Stadium Darul Aman, malam tadi, memberi kesempatan kepadanya merehatkan beberapa tonggak pada aksi kedua.

"Saya perlu lihat keadaan pemain kalau semuanya baik saya akan turunkan pemain simpanan menentang PKNP nanti kerana bulan ini kita juga ada perlawanan Liga Super," katanya.

Kemenangan besar sudah hampir pasti melayakkan Kedah ke separuh akhir kecuali PKNP FC mampu membuat kejutan besar di Stadium Perak, Ipoh.

Cheng Hoe mengakui beliau tidak menyangka anak buahnya bermain begitu baik ketika menentang PKNP FC malam tadi sehingga mampu berpesta gol.

"Jika kami dapat kekalkan prestasi kami mampu melangkah ke separuh akhir dan saya harap pemain dapat beri keyakinan apabila bertandang ke Stadium Perak nanti.

"Apa yang penting kita dapat kemenangan. Kalau pemain mampu ambil peluang jaringkan gol itulah hasil kerja keras setiap pemain dan semangat juang begitu tinggi," katanya.

Kedah memperoleh gol menerusi Mohd Fitri Omar m-15 sebelum pemain PKNP FC, G Mugenthirran menjaringkan gol sendiri m-29.

Pemain import dari Denmark, Ken Ilso Larsen menjaringkan dua gol Kedah m-47 dan m-90, Liridon Krasniqi (m45) dan Muhammad Syafiq Ahmad (m86) manakala gol saguhati PKNP FC dijaringkan Mohamad Khairul Asyraf Ramli (m85).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 2:41 PM