PEMAIN Iran, Moslem  (kanan) diasak pemain negara,   Rozairi Ahmad di Pantai Batu Buruk, semalam.
PEMAIN Iran, Moslem (kanan) diasak pemain negara, Rozairi Ahmad di Pantai Batu Buruk, semalam.
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pasukan negara gagal menyaingi kekuatan Iran selepas mudah dibelasah skuad itu 0-14 pada Kejohanan Bola Sepak Pantai Asia di Pantai Batu Buruk, semalam.

Terdahulu Afghanistan yang menundukkan pasukan negara 5-3 kelmarin berjaya meneruskan momentum kemenangan selepas menundukkan China 7-2.

Pemain lincah Iran, Mohammad Ali Mokhtari dan Farid Boulokbashi masing-masing muncul wira pasukannya selepas meledak empat jaringan untuk membantu pasukannya menang bergaya dengan jaringan besar.

Moslem Mesigar menyumbang dua gol buat Iran manakala selebihnya oleh Mostafa Kiani, Seyed Ali Nazem, Hamid Behzadpour dan Mohammad Ahmadzadeh.

Sementara itu ketua jurulatih negara, Ismail Zakaria mengakui pasukan negara gagal menyaingi kekuatan lawan yang memanfaatkan peluang sebaik mungkin untuk menghasilkan jaringan.

“Kami sudah berusaha sebaik mungkin untuk mencari gol namun sukar untuk menyaingi kehebatan pasukan lawan yang lebih berpengalaman.

“Biarpun tewas ini pendedahan terbaik buat pemain sebelum turun melayani skuad Bahrain petang esok (hari ini),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 8:59 AM