AHMAD Marzuk ketika hadir menyampaikan sumbangan Musaadah Covid-19 kepada sebahagian pemandu teksi airport di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
AHMAD Marzuk ketika hadir menyampaikan sumbangan Musaadah Covid-19 kepada sebahagian pemandu teksi airport di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah di masjid dilaksanakan dengan penjarakan satu meter, walaupun terdapat pandangan lain dalam keputusan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, rakyat perlu akur dan patuh kerana ia bukan sahaja dilaksanakan di Malaysia, sebaliknya di seluruh dunia.

Beliau berkata, bukan soal siapa berpandangan berbeza, sebaliknya apabila kerajaan membuat sesuatu keputusan, menjadi kewajipan kepada rakyat untuk ikut, walaupun keputusan itu barangkali terdapat pandangan kedua atau pandangan ketiga.

"Apapun perbahasan dibuat, apapun tajuknya dan pendirian panelnya, tetapi dalam konteks negara yang perlu kita patuhi ialah ketaatan kepada kepemimpinan.

"Ulul amri ini sudah buat keputusan, ini SOP nya dan bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

"Jika semua orang nak pakai banyak pandangan, akan banyaklah corak dan cara solat di masjid itu. Ada yang dekat, jauh dan lebih jauh.

"Jadi kerajaan buat keputusan dengan mengambil kira pandangan semua pihak. Kepakaran dalam bidang perubatan, dalam soal kehidupan sosial masyarakat, jadi sudah diadunkan sehingga keluar satu SOP yang memerlukan kita ikut dan patuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Sumbangan Musaadah Covid-19 kepada pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP)di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Beliau mengulas program dialog bertajuk 'Jarak Saf dalam mendepani Covid-19: Tuntutan agama atau pemahaman songsang.'

Dialog berlangsung pada 12 Februari lalu itu menampilkan Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaimi Ramli dan pendakwah bebas, Mohib Khouli Nazem, yang membincangkan isu berkait keperluan menjarakkan saf solat jemaah ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk menyifatkan dialog secara ilmiah itu sangat perlu, bagi mencerakinkan lagi ilmu berkaitan dengan isu agama.

Katanya, dialog itu lebih membabitkan perbezaan pandangan dalam sudut keharusan dan kewajaran menjarakkan saf dalam solat.

"Itu dibolehkan sesiapa pun nak buat perbahasan secara ilmiah, beradab dalam suasana terkawal. Cuma pesan saya kepada netizen, ikutlah adab seperti mana pembahas itu.

"Mereka selepas berbincang boleh minum duduk semeja, tidak lagi berpanjangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 6:21 PM