PEMAIN negara,  Shafiq Riza Huzair (tengah) diasak dua pemain Bahrain di Pantai Batu Buruk, semalam.
PEMAIN negara, Shafiq Riza Huzair (tengah) diasak dua pemain Bahrain di Pantai Batu Buruk, semalam.
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Peluang pasukan negara untuk mengintai tempat ke separuh akhir sudah tertutup rapat selepas tewas tipis 5-6 kepada Bahrain pada Kejohanan Bola Sepak Pantai Asia di Pantai Batu Burok, di sini semalam.

Dalam perlawanan ketiga itu pasukan kendalian Ismail Zakaria yang kecundang dalam dua aksi terdahulu kepada Afghanistan 3-5 dan Iran 0-14 beraksi baik namun masih belum mampu untuk mencatat kemenangan pertama.

Dalam perlawanan itu Bahrain berjaya memecah kebuntuan gol menerusi pemain lincah Abdulla Almalki yang bijak menyambar bola hantaran Rashed Jamal namun jaringan itu tidak mampu bertahan lama selepas Mohd Shafiq Riza Huzair melakukan serangan balas sekali gus berjaya menyamakan kedudukan.

Selepas itu kapten Bahrain, Rashed berjaya menjarakkan kedudukan sebelum Saleh Sami Saleh Mohamed menjaringkan gol ketiga pasukannya diikuti gol Mohammed Abdulla dan Ayoob Naseeb Salem.

Pasukan negara menerusi kapten Zaharim Yusof berjaya merapatkan kedudukan namun tidak bertahan lama apabila pemain lawan Abdulla Abdullatif Alabdulla bijak menyudahkan sepakan percuma untuk menjadikan kedudukan 6-2.

Semangat tidak mudah mengalah dipamerkan pemain negara berjaya menambah tiga lagi jaringan menerusi Fakhrullah Mohamad, Mohd Khairul Nizam dan Zaharim namun sudah terlambat untuk memadam kelebihan jaringan Bahrain.

Ismail mengakui kekurangan pengalaman menjadi pemisah buat pasukan negara untuk menyaingi lawan.

“Pemain memperagakan aksi terbaik dengan mempamerkan semangat juang tinggi untuk memberi saingan kepada pasukan lawan namun kami perlu menerima hakikat kekurangan pengalaman menjadi faktor sukar menyaingi pasukan lebih hebat,” katanya yang menuntut pemainnya mencatat kemenangan pertama bertemu China esok (Rabu) biarpun perlawanan itu hanya sekadar pelengkap jadual.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 10:27 AM