PEMAIN Terengganu perlu raih tiga mata penuh ke atas Perlis jika mahu terus himpit Negeri Sembilan.
PEMAIN Terengganu perlu raih tiga mata penuh ke atas Perlis jika mahu terus himpit Negeri Sembilan.
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Terengganu tidak rela tercicir mata sebaliknya rentak kemenangan mahu diteruskan biarpun beraksi di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar bertemu pasukan tercorot Liga Perdana Perlis, petang ini.

Arkitek skuad Penyu Asrol Ibrahim berkata, jumlah jaringan tidak begitu difikirkan, tetapi apa yang lebih penting Terengganu perlu menang untuk mengutip tiga mata penuh bagi menyaingi pendahulu Negeri Sembilan.

“Dalam misi untuk mengejar mata dengan pendahulu liga, kami tidak boleh tercicir mata lagi kerana sedar sebarang kekalahan bakal menyulitkan hasrat kami selain akan menjarakkan lagi jurang perbezaan mata.

“Justeru, berbekalkan keazaman yang tinggi selepas kembali bangkit menumpaskan Kuala Lumpur 2-1 Jumaat lalu selepas kecundang dalam dua aksi terakhir ia menguatkan lagi semangat kami untuk menundukkan skuad Singa Utara biarpun terpaksa beraksi di sebelah petang,” kata bekas pemain T-Team itu.

Daripada enam perlawanan setakat ini skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu berjaya mengumpul 12 mata hasil empat kemenangan untuk berada di kedudukan ketiga liga dan hanya ketinggalan tiga mata berbanding pendahulu liga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 8:04 AM