ADAM Shah cukup dikenali penonton dengan watak ‘Ayam’ dalam Juvana.
ADAM Shah cukup dikenali penonton dengan watak ‘Ayam’ dalam Juvana.
Oleh Norhayati Nordin

Meskipun tidak sepopular rakan seangkatan lain seperti Johan As'ari, Syazwan Zulkifly, Syukri Yahya dan Talha Harith, namun pelakon Adam Shah, 32, tidak kecewa.

Dia tetap bersyukur dan masih gigih berusaha.

Adam tak pilih watak

Selesa berfikiran positif, Adam Shah, 32, yang mula menempa nama di persada lakonan tanah air menerusi produk Juvana terbitan Filmscape Sdn Bhd tidak pernah gentar menghadapi saingan.

Pemilik nama sebenar Nor Shah Azli Abdul Ghani ini juga cukup sinonim dengan karakter antagonis.

Watak lakonannya sebagai 'Ayam' dalam Juvana begitu meninggalkan kesan kepada penonton.

Apapun, kini Adam muncul mempertaruhkan filem baru lakonannya, Cerita Hantu Malaysia arahan Pierre Andre yang mula ditayangkan sejak 25 Disember lalu.

Melakonkan watak Mansur yang membantu rakannya, Jo dan Akim untuk membawa Rose, isteri Akim yang dirasuk makhluk halus berubat ke rumah seorang dukun akhirnya tersesat di jalan mati.

Berbicara mengenai watak Mansur itu, Adam berkata, dia seorang yang tidak memilih watak.

"Walaupun watak Mansur ini kecil tetapi saya berminat menerimanya kerana ia membabitkan hubungan persahabatan empat sekawan. Lagi pun, filem ini adalah kerjasama pertama saya dengan Pierre.

"Saya sebenarnya sudah lama menyimpan impian mahu bekerja dalam filem dihasilkan Pierre. Bagi saya, Pierre seorang yang kreatif dalam karyanya.

"Justeru, saya puas hati meletakkan Pierre dalam senarai nama salah seorang pengarah yang saya teringin bekerja dengannya. Ditambah pula, saya teruja pada hasil filem ini," katanya.

Berkongsi pengalamannya bekerja di bawah arahan Pierre, menurut Adam yang paling membuat dia seronok kerana anak dramatis Khatijah Tan itu seorang yang tenang.

Katanya, Pierre juga tidak pernah meninggikan suara ketika memberi arahan dan dia (Pierre) banyak membantu pelakon sepanjang di set penggambaran.

Mengakui masih banyak kekurangan dalam lakonan harus diperbaikinya, Adam berkata, dia bersikap terbuka dan gigih menimba pengalaman.

Selain Adam, pelakon lain yang membintangi filem Cerita Hantu Malaysia ialah Kamarul Yusoff, Kamal Adli, Leez Rosli, Mikail Andre, Rahim Omar dan Wan Ellyas.

Bersandarkan bajet rendah, tempoh penggambaran selama 10 hari untuk menghasilkan filem ini dilakukan sekitar Lembah Klang dan Hulu Langat.

Semua pelakon juga sedia menerima tawaran membintangi filem ini kerana mengenali Pierre dan yakin dengan produk sentuhan pengarah muda berbakat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:01 AM