Kamal Adli tinggalkan episod luka pada tahun lalu untuk terus maju dalam karier bagi 2015.
Kamal Adli tinggalkan episod luka pada tahun lalu untuk terus maju dalam karier bagi 2015.
Oleh Norhayati Nordin


Kalendar 2015 yang baru membuka tirai dijadikan pembakar semangat pelakon Kamal Adli untuk terus maju dalam karier seni diceburi.

Enggan lagi terus me­ngenang episod luka cinta kecundang yang dilaluinya tahun lalu, pemuda berusia 29 tahun ini mengakui dia kini sudah mampu kembali ketawa dan gembira.

Kamal berkata, dia yang selesa melihat ke arah positif terhadap kekecewaan pernah dialami itu memaklumkan tiada apa perlu dikenangkan.

"Kehidupan perlu diteruskan dan saya bersyukur apabila tawaran berlakon masih diterima tak putus hingga kini. Apapun, lembaran 2015 ini dibuka de­ngan kisah baru.

"Tiada lagi perasaan sedih yang menjerat perasaan tetapi saya bangkit dengan semangat membara untuk terus maju dalam karier," katanya.

Mengakui dia sekarang terikat dengan jadual peng­gambaran drama adaptasi novel Pergilah Air Mata sebanyak 26 episod, Kamal memaklumkan dia akan sibuk sehingga Februari nanti.

Selain Kamal, barisan pelakon terkenal tanah air yang membintangi drama itu antaranya Nelydia Senrose, Amar Asyraf, Azlee Khairi dan Izreen Azminda.

Melakonkan watak utama sebagai Badrul, anak jati Pekan, Pahang ini berkata, dia teruja kerana ia drama adapatasi novel lakonannya.

Menurut Kamal lagi, dia bukan hanya sibuk de­ngan penggambaran drama arahan Johari Yusof atau Jo Yusof itu, tetapi ada beberapa telefilem juga memerlukan komitmennya.

Berbicara juga mengenai filem, Kamal tanpa berselindung berkata, dia akan muncul dengan dua filem arahan rakan baiknya, Pierre Andre di pawagam tahun ini iaitu Apartmen dan Cut!

Kedua-dua karya itu ujar Kamal, filem bergenre seram dan komedi seram yang memberi peluang kepadanya menerokai ba­nyak pengalaman baru.

"Saya sebenarnya sa­ngat teruja menantikan filem Apartmen yang dilakonkan itu menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.

"Ini kerana dalam filem itu (Apartmen), saya melakonkan watak sebagai penulis novel seram yang pergi ke lokasi kejadian dan mengalami sendiri pelbagai gangguan. Jadi, kira-kira 80 peratus saya bersendiri," katanya.

Mengulas juga mengenai bencana bah yang melanda beberapa negeri di tanah air baru-baru ini, Kamal berkata dia menyimpan impian untuk turun padang dan pulang ke kampung halaman bagi membantu mangsa terbabit.

Bagaimanapun, buat masa ini Kamal tidak berkesempatan pulang ke kampung kerana terikat dengan jadual lakonannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:00 AM