ZAHIRIL bakal muncul dengan filem baharu, Ada Hantu yang ditayangkan Disney+Hotstar pada Ogos depan.
ZAHIRIL bakal muncul dengan filem baharu, Ada Hantu yang ditayangkan Disney+Hotstar pada Ogos depan.
Norhayati Nordin


LEBIH sedekad menceburi bidang lakonan, nama Zahiril Adzim memang dikenali ramai.

Dari segi bakatnya, pelakon berusia 37 tahun ini ternyata sudah berada di tahap tersendiri.

Menariknya lagi perjalanan kerjaya Zahiril atau mesra disapa Bob ialah dia tidak pernah mempertaruhkan cerita sensasi diri atau keluarganya melainkan sentiasa menyerlah dengan bakat seni dimiliki.

Beri apa saja watak sama ada seorang yang baik atau jahat, ia mampu digalas Zahiril dengan berkesan. Selain drama, aksi lakonannya dalam setiap filem dibintangi juga tidak pernah menghampakan penonton.

Filem seperti Kami The Movie, Senjakala, Bunohan, Juvana, Rentap, Juvana 2, Redha, Pekak, Juvana 3, One Two Jaga, Kron dan banyak lagi berjaya dipersembahkan Zahiril dalam pelbagai transisi watak yang berbeza.

Apapun, pada Ogos depan Zahiril akan muncul dengan filem berjudul Ada Hantu arahan pelakon aksi terkenal, Hairul Azreen yang ditayangkan secara eksklusif di platform Disney+Hotstar.

Bagi Zahiril, peluang filem Ada Hantu ditayangkan di platform itu sebagai rezeki untuk karya seni Malaysia ditonton penonton dari luar negara pada masa kini.

Melakonkan watak Alif dalam filem itu, Zahiril turut berkongsi pengalaman seram dilaluinya ketika penggambaran di sebuah banglo tinggal yang mengakibatkan dia cedera ringan di kaki.

"Pada ketika itu, saya dikehendaki melakonkan satu babak menendang pintu dan melompat. Namun, ketika saya buat babak itu (tendang pintu), saya rasa seperti ada satu benda besar yang tiba-tiba menolak pintu dengan kuat.

"Saya ingatkan mungkin beberapa pekerja produksi yang menolak pintu itu, tapi tak ada siapa buat pun dan disebabkan fokus sudah terganggu saya tersasar apabila mendarat selepas melompat. Kaki saya terasa sakit seperti terseliuh.

POSTER filem Ada Hantu yang pernah tular di media sosial.
POSTER filem Ada Hantu yang pernah tular di media sosial.

"Namun, saya tetap kuatkan diri menahan sakit dan buat seperti tiada apa yang berlaku kerana itu salah satu tanggungjawab serta cabaran sebagai pelakon. Saya tak boleh tunjuk sakit di hadapan kamera selagi penggambaran belum selesai," katanya.

Menurut Zahiril, walaupun Hairul prihatin dengan keadaan kecederaan dialaminya ketika itu, namun dia mengambil sikap berdiam diri kerana enggan merosakkan 'mood' orang lain dan urusan kerja yang perlu disiapkan terganggu.

"Saya hanya bercerita kepada Hairul mengenai situasi sebenar apabila kami sudah tiba di hotel penginapan. Hairul terkejut juga kerana dia tak sangka saya sanggup menahan sakit sendirian serta terus bekerja walaupun kaki sudah cedera.

"Keadaan yang saya alami itu memang tak diduga. Kejadian nak berlaku dan tak boleh dielak. Apapun, saya tetap bersyukur penggambaran filem Ada Hantu dapat disiapkan. Sekarang, teruja pula menunggu tayangan," katanya.

Enggan terlalu memikirkan soal entiti, Zaharil berkata, dia selesa positif kerana ketika itu masih bekerja. Apapun, dia tetap gembira kerana dapat berganding dengan barisan pelakon serta pasukan kerja yang saling membantu.

Selain Zahiril, filem Ada Hantu turut dibintangi Hairul sebagai Jimmy, Shiqin Kamal (Bariah), Nafiez Zaidi (Taha) dan Elvina Chua (Sasha).

Penggambaran dilakukan pada Disember tahun lalu.

ADA Hantu, diakui Zahiril memiliki jalan cerita menarik dan unik.
ADA Hantu, diakui Zahiril memiliki jalan cerita menarik dan unik.

Yakin 'air tangan' Hairul

Walaupun tahu Hairul baharu pertama kali duduk di kerusi pengarah filem, Zahiril tiada masalah untuk bekerjasama kerana menyifatkan rakan pelakonnya itu berbakat besar.

"Ketika Hairul menawarkan saya watak Alif itu, saya hanya nak tahu bagaimana jalan cerita filem seram yang ingin dihasilkannya. Ini kerana, saya pun sudah ada pengalaman berlakon dalam beberapa filem seram terdahulu. Saya yakin dengan Hairul.

"Selepas mendapat penerangan teliti daripada Hairul mengenai jalan cerita dan melihat kesungguhannya, saya fikir karya ini unik dan agak menarik juga. Penonton bakal mendapat pengalaman baharu dalam menyaksikan sebuah filem seram.

"Malah, saya meletakkan skala takut maksimum iaitu 10 untuk filem ini kerana banyak perkara yang tak dijangka nanti. Nak tahu, apa benda yang tak dijangka itu, kena tonton Ada Hantu," katanya.

Enggan bercerita lanjut atau mengupas perihal watak lain, Zahiril berkata, tak bagus jika semuanya diceritakan. Biar penonton tonton dulu dan kemudian, menilainya sendiri.

Diterbitkan produksi ACT 2 Pictures Sdn Bhd, Ada Hantu mengisahkan Alif, seorang YouTuber yang tidak percaya dengan hantu dan meraikan hari jadinya bersama rakan-rakan di sebuah banglo lama peninggalan tentera Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 6:00 AM