Omar Osman


Sungai Petani: Rumah pengusaha katering, Abdul Ghani Haron di Kampung Masjid, Tikam Batu, di sini, dikunjungi lebih 1,000 orang pagi tadi apabila dia sekali lagi mengagihkan ayam proses segar percuma.

Seawal 6.30 pagi orang ramai menanti di pagar rumah Abdul Ghani, 60, atau lebih dikenali Cikgu Ghani untuk mendapatkan bekalan ayam berkenaan.

Dalam masa 45 minit, sebanyak 1,300 ayam proses segar habis diagihkan kepada suri rumah yang sedia menunggu.

Abdul Ghani berkata, sumbangan ayam proses segar percuma itu sebahagian daripada aktiviti kebajikan yang dijalankan bersama rakan Facebooknya.

Katanya, kali ini 1,300 ayam bernilai lebih RM13,000 disediakan berbanding 1,000 sebelum ini, dengan seekor ayam seberat dua kilogram.

"Dalam keadaan ekonomi yang kurang baik ketika ini ditambah dengan kenaikan harga ikan secara mendadak turut memberi kesan kepada orang ramai.

"Saya berharap dengan pemberian ayam percuma ini sedikit sebanyak dapat meringan beban golongan berpendapatan sederhana dan rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 11:26 AM
Suri rumah mengambil ayam proses segar yang diagihkan secara percuma. FOTO Omar Osman
Suri rumah mengambil ayam proses segar yang diagihkan secara percuma. FOTO Omar Osman