BANJIR dirakam di Yanshuo pada Ahad lalu. FOTO AFP.
BANJIR dirakam di Yanshuo pada Ahad lalu. FOTO AFP.
Agensi

Beijing: Banjir dan tanah runtuh melanda selatan China menjejaskan ratusan ribu penduduk dan puluhan lagi terkorban atau hilang, menurut media negeri itu.

Cuaca buruk turut menyumbang malapetaka di kawasan pelancongan popular yang sebelum ini berdepan sekatan perjalanan selama berbulan-bulan akibat wabak koronavirus.

Ketika ini, hampir 230,000 penduduk dipindahkan dan lebih 1,300 rumah musnah, lapor agensi berita Xinhua yang memetik Kementerian Pengurusan Kecemasan China.

Di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang selatan, enam orang dilaporkan mati manakala, seorang hilang dan sekurang-kurangnya 13 terkorban di Hunan.

Difahamkan, lapan orang di barat daya Guizhou masih hilang.

Jalan ditenggelami air di destinasi popular pelancong Yangshuo, memaksa penduduk dan pelawat berpindah menggunakan rakit buluh.

Kerajaan negeri berkata, lebih 1,000 hotel dilanda banjir dan 30 tempat pelancongan rosak.

Seorang daripada pemilik hotel warisan keluarga memberitahu Xinhua, bilik di hotelnya ditenggelami air sedalam satu meter.

Sementara kementerian bertanggungjawab meramalkan kerugian langsung akibat bencana itu melebihi 4 bilion yuan (RM24 bilion).

Hujan lebat bermula awal Jun lalu dijangka berlanjutan beberapa hari lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 10:50 AM