Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bebas daripada sebarang pencemaran cecair kimia atau bahan berbahaya seperti 'VX Nerve Agent’.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat, berkata hasil pemeriksaan awal pagi ini mengesahkan klia2 selamat kepada pengunjung dan penumpang.

Beliau berkata, operasi pemeriksaan dan pengesanan itu dilakukan tiga pasukan masing-masing dari Chemical, Biological, Radiological and Nuclear explosives (CBRNe) dari Makmal Forensik PDRM; Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia (AELB).

"Pemeriksaan meliputi semua lokasi ada kaitan dengan kes pembunuhan berlaku pada 13 Februari lalu," katanya pada sidang selepas operasi bersepadu mengesan sisa 'VX Nerve Agent' di klia2.

Ditanya kenapa pihak polis mengambil keputusan untuk memeriksa klia2 biarpun selepas 12 hari kejadian pembunuhan, Abdul Samah berkata, pemeriksaan itu dilakukan susulan pengesahan jenis bahan kimia yang digunakan untuk membunuh Kim Jong-nam.

Katanya, pengesahan itu membolehkan pihaknya melakukan pemeriksaan di klia2 bertujuan memastikan lapangan terbang berkenaan selamat daripada bahan berbahaya.

Terdahulu, tiga pasukan itu melakukan operasi pemeriksaan di aras tiga klia2 terutama di kiosk daftar masuk layan diri, restoran Bibik Heritage dan kaunter pertanyaan.

Selain itu, tandas wanita dan Klinik Perubatan Menara di tingkat dua turut diperiksa.

Pihak berkuasa menutup sebahagian ruang legar di aras kaunter daftar masuk pelepasan dalam negeri dan antarabangsa klia2, pada kira-kira 11 malam tadi.

Ini bagi melakukan operasi pembersihan dan mengesan bahan kimia yang digunakan dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Operasi bermula 1.45 pagi hingga 3 pagi itu dilakukan bagi mengesan sama ada wujud bahan berbahaya di klia2 terutama jenis 'VX Nerve Agent' seperti yang ditemui pada mayat Jong-nam.

Sementara itu, Ketua Pengarah AELB Hasmadi Hassan berkata, pihaknya akui tidak pernah mengendalikan kes berkaitan 'VX Nerve Agent' di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya mempunyai kepakaran dari segi peralatan dan anggota untuk menanganinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 10:10 AM