Kalidevi Mogan Kumarappa dan Siti A'isyah Sukaimi dan Mazizul Dani

Sepang: Sembilan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara susulan krisis diplomatik antara dua negara selamat tiba di tanah air, 5 pagi tadi.

Mereka tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Pyongyang, Korea Utara menggunakan pesawat khas.

Semua mereka ialah Noor Saaidah Jamaluddin, 29, (Pembantu peribadi Duta Besar), suaminya Mohd Radzuan Othman, 29; serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan; S Nirmala Malar Kodi, 45 (Pegawai Tadbir); Mohd Nor Azrin Md Zain, 37 (Kaunselor); isterinya, Iza Karmila Ramli, 35, serta tiga anak iaitu Annur Zulaikha, 6; Aynor Zhafirah, 5; dan Ayscha Zinnirah, 3.

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta ahli keluarga masing-masing.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, mereka meninggalkan Pyongyang pada 7.45 malam tadi.

Krisis hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tercetus selepas Duta Korea Utara di Malaysia Kang Chol diarahkan pulang kerana mengkritik pihak berkuasa negara ini berhubung penyiasatan kematian abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam.

Jong-nam dibunuh dengan cecair beracun yang dikenal pasti Polis Diraja Malaysia sebagai ‘VX Nerve Agent ketika dia berada di klia2 untuk menaiki pesawat ke Macau, 13 Februari lalu

Jong-nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Dua wanita warga asing iaitu Siti Aisyah, 25, dari Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, dari Vietnam didakwa membunuh Jong-nam di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu.

Berita berkaitan:

Pembunuhan Jong-nam

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 5:26 AM
KETIBAAN sembilan orang rakyat Malaysia dari Pyongyang disambut Anifah. FOTO Sairien Nafis
KETIBAAN sembilan orang rakyat Malaysia dari Pyongyang disambut Anifah. FOTO Sairien Nafis
SEPANG 31 MARCH 2017. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyambut ketibaan sembilan orang rakyat Malaysia yang tiba dari Pyongyang susulan krisis diplomatik antara dua negara, Malaysia dan Korea Utara di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. NSTP/SAIRIEN NAFIS