Doan Thi Huong (kiri) dan Siti Aisyah dituduh membunuh Jong-nam menggunakan agen saraf VX. FOTO Roslin Mat Tahir
Doan Thi Huong (kiri) dan Siti Aisyah dituduh membunuh Jong-nam menggunakan agen saraf VX. FOTO Roslin Mat Tahir
Sarah Zulkifli


INSIDEN kematian abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam yang disebabkan agen saraf VX adalah kes kedua di dunia dan pertama di negara ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Makmal Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia, Dr S Raja ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada perbicaraan kes bunuh Jong-nam yang masuk hari keenam, hari ini.

Dr S Raja yang juga saksi kelapan pendakwaan berkata, insiden pertama dilaporkan berlaku pada 1994 di Osaka, Jepun.

"Bahan kimia agen saraf VX dilaporkan disembur pada bahagian leher mangsa," katanya merujuk kepada tayangan slaid pada pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Bicara dan Rayuan, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Beliau memberi keterangan terhadap warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa membunuh Jong-nam.

Dalam perkembangan sama, Dr S Raja memberitahu mahkamah, kesan agen saraf VX banyak ditemui pada kolar dan kedua-dua lengan jaket milik Jong-nam.

Menurutnya, berdasarkan kepada penemuan itu, beliau berpendapat Jong-nam mengelap bahan kimia yang mengenai muka dan matanya dengan lengan dan kolar jaket terbabit.

Pada 1 Mac lalu, kedua-dua wanita itu dihadapkan di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan membunuh Jong-nam, 45, bersama empat lagi individu yang masih bebas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Pelepasan klia2 kira-kira 9 pagi, 13 Februari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il hidup dalam buangan di China dan Asia Tenggara selama beberapa tahun selepas bergaduh dengan bapanya.

Beliau yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya dan dilaporkan berada di Malaysia sejak 6 Februari lalu.

Berita berkaitan :

Pembunuhan Jong Nam

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 4:09 PM