SOS ‘butter garlic’ yang berlemak dan enak.
SOS ‘butter garlic’ yang berlemak dan enak.
PILIHAN menu lain.
PILIHAN menu lain.
NADIA (kiri) dan Iskandar ingin menyajikan menu ‘shell-out’ yang berkualiti pada harga berpatutan.
NADIA (kiri) dan Iskandar ingin menyajikan menu ‘shell-out’ yang berkualiti pada harga berpatutan.
Aniza Zainudin

Trend terkini, ‘shell out’ memberi idea kepada Nadia Arshad, 30, dan Iskandar Mohd Dzulkarnain, 31, untuk menyajikan menu itu dengan bajet lebih rendah tetapi berkualiti.

Mencipta kelainan dengan menyajikan dua sos berbeza bagi satu sajian membolehkan pelanggan menikmati dua cita rasa unik sekali gus.

Beroperasi di Boutique Mad Blend & Cafe di Bandar Baru Selayang, Selangor, sajian ‘shell out’ menawarkan dua sos ciptaan sendiri, ‘chilli eggs’ dan ‘butter garlic’ memiliki rasa tersendiri, malah sesuai dinikmati pelanggan pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak.

Sos ‘chilli eggs’ sejenis sambal merah dimasak bersama cili kering yang dikisar. Sos ini juga menggabungkan bawang putih, bawang merah, daun kari, serai dan pelbagai herba tempatan untuk rasa dan aroma yang enak. Sos ‘butter garlic’ pula dihasilkan daripada campuran susu cair, keju, cili padi serta daun kari.

Memiliki rasa tidak terlalu pedas dan berlemak, Nadia berkata, sedikit cili padi dimasukkan dalam sos bertujuan menghilangkan rasa muak ketika sos digaul bersama makanan laut terpilih. Bagi mengekalkan rasa asli, makanan laut seperti ketam, udang, lala dan kekapis direbus berasingan dan dijadikan pati utama dalam penghasilan sos.

“Kami menggunakan bahan mentah berkualiti meskipun menyajikan hidangan dua sos berbeza pada harga berpatutan.

“Pengenalan pada dua jenis sos ini memberi kelebihan kepada pelanggan untuk mencuba dua rasa sos yang berbeza. Setiap satu menu boleh dinikmati dua orang kerana sajian disediakan agak besar.

“Sebenarnya kami masih baru dalam penyediaan menu ‘shell out’ kerana sebelum ini kami fokus terhadap penjualan menu ‘lunch box’ (kotak makanan tengah hari),” katanya.

Selain itu, Boutique Mad Blend & Cafe menawarkan pilihan menu barat termasuk ‘chicken chop’, fish and chip’, serta makanan vendor seperti lasagna, spageti dan pelbagai pencuci mulut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:01 AM