NASI lemak gergasi ketam punyai keunikan tersendiri.
NASI lemak gergasi ketam punyai keunikan tersendiri.
HIDANGAN makanan laut ‘shell out’ gabungan kerang, kupang, lala, udang dan ketam makin popular.
HIDANGAN makanan laut ‘shell out’ gabungan kerang, kupang, lala, udang dan ketam makin popular.
NASI lemak gergasi udang.
NASI lemak gergasi udang.
NUR Saidah dan Mohd Zaharudin bersama hidangan ‘gergasi’ yang ditawarkan kepada pelanggan.
NUR Saidah dan Mohd Zaharudin bersama hidangan ‘gergasi’ yang ditawarkan kepada pelanggan.
Ainal Marhaton Abd Ghani

[email protected].

Melihat papan tanda kedai makan Selera Gergasi membuat penulis tertanya-tanya apa yang gergasinya? Makanan, minuman atau kerusi mejanya?

Persoalan itu akhirnya terlerai apabila penulis menjengah ke dapur dan melihat sajian ‘gergasi’. Bagi mereka yang mempunyai selera ‘biasa-biasa’ pasti tidak habis makan seorang!

Masakan tidak, ikan siakap dan kepingan ayam sebesar tapak tangan orang dewasa, sotong bersaiz XXL dan udang segar sebesar ibu jari (lapan ekor) dan ketam biru (dua ekor) bersalut tepung goreng rangup menjadi jawapan kepada persoalan yang ‘bersarang’ di kepala penulis.

Ternyata Selera Gergasi tidak mengecewakan dan bertepatan dengan nama kedainya kerana pelanggan pasti tersandar kekenyangan.

Pemiliknya Nur Saidah Nafisah Samah, 28, berkata, dia mendapat idea menyajikan hidangan bersaiz besar untuk setiap set selepas melihat sajian itu begitu popular di laman web.

Menurutnya, sejak dibuka Oktober tahun lalu, Selera Gergasi hanya menawarkan lima menu nasi lemak hijau putih yang dihidang bersama lauk gergasinya itu.

“Kami namakan nasi lemak gergasi dan dihidang bersama kepingan ayam, sotong, ketam, udang dan ikan siakap bersaiz besar yang disalut tepung rangup sebelum digoreng dan dihidang bersama sambal tumis ikan bilis.

“Sambutan pelanggan sangat menggalakkan sehingga saya perlu menyediakan antara lima hingga lapan kilogram nasi lemak dan lima kilogram sambal tumis setiap hari bagi memenuhi permintaan,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di kawasan letak kereta Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota, Kuantan.

Nasi lemak gergasi berharga antara RM15 hingga RM35 sepinggan mengikut pilihan hidangan sampingan manakala nasi lemak biasa (kosong) RM3 sepinggan.

Nur Saidah berkata, tepung gorengnya mempunyai campuran rasa manis, masin dan pedas membangkitkan aroma yang menusuk hidung, sekali gus membuat pelanggan tidak senang duduk menanti hidangan tiba di meja.

“Pada peringkat awal menyediakan menu, perasaan bimbang tetap ada kerana sajian ‘gergasi’ saya mungkin tidak mampu dihabiskan, tapi sangkaan meleset kerana ia diratah hingga pinggan licin,” katanya.

Selera Gergasi juga membuka cawangan di Tanah Putih Baru bermula 1 Jun lalu dan beroperasi mulai jam 5.30 petang hingga 12 tengah malam. Di Indera Mahkota mulai jam 7 malam hingga 12 tengah malam dan ditutup setiap Rabu.

Dia yang mengusahakan perniagaan bersama suami Mohd Zaharudin Mat Said, 33, berkata, Selera Gergasi juga menampilkan menu ‘shell out’ yang makin popular dalam kalangan peminat makanan laut.

Katanya, ‘shell out’ menu hidangan laut gabungan ketam, lala, kerang, udang dan kupang yang direbus terlebih dahulu sebelum digaul sebati dengan dua sambal khas.

“Saya gunakan sambal ungkep yang banyak digunakan dalam hidangan makanan masyarakat keturunan Jawa untuk digaul bersama udang, kupang dan lala.

“Sambal ungkep gabungan ramuan serai, cili padi dan bawang besar yang dikisar halus dan dicampur serbuk kunyit sebelum dimasak sehingga empat jam untuk mendapatkan sukatan kepekatannya,” katanya.

Dari segi penyediaan kuah untuk hidangan ‘shell out’ ketam, raja ketam dan kerang, Nur Saidah menggunakan campuran cili boh, bawang besar, udang kering, serai dan sos cili.

“Bawang besar, udang kering dan serai dikisar halus sebelum dicampurkan cili boh dan sos cili selain garam dan gula yang dimasak dalam tempoh tiga hingga empat jam supaya pekat tanpa menggunakan air.

“Saya belajar mengenai resipi ini dari Internet dan ternyata pelanggan menyukainya. Ada gabungan warna merah dan kuning serta rasa yang berbeza pada setiap hidangan shell out,” katanya.

Bezanya dengan hidangan biasa, sajian ‘dilambakkan’ di atas meja beralaskan kertas minyak atau kertas ‘mahjung’ dan nikmatilah sepuas-puasnya. Tetapi awas, jangan sampai kuahnya tertumpah di pakaian anda!

“Untuk ‘king crab’ saya mendapatkan bekalan daripada pembekal di Kuala Lumpur manakala makanan laut lain daripada pembekal tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 12:13 PM