ODEGAARD mahu rakan sepasukan terus fokus pada aksi terakhir. FOTO Reuters
ODEGAARD mahu rakan sepasukan terus fokus pada aksi terakhir. FOTO Reuters
Reuters

London: Pemain Arsenal tidak boleh membiarkan emosi mereka menguasai diri ketika mereka mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hari terakhir musim ini, kata kapten Martin Odegaard menjelang perlawanan menentang Everton.

Arsenal berada dua mata di belakang pendahulu, Manchester City yang melangkah ke perlawanan terakhir esok.

The Gunners mesti menang untuk kekal dalam saingan, manakala City boleh menjulang kejuaraan keempat berturut-turut jika mereka menewaskan West Ham United.

Harapan Arsenal untuk menamatkan penantian 20 tahun mereka untuk kejuaraan liga terganggu selepas kemenangan 2-0 City ke atas Tottenham Hotspur pertengahan minggu ini meletakkan pasukan Manchester mempunyai kelebihan.

"Kami bercakap mengenainya sehari selepas (City meneruskan penguasaan)," kata Odegaard kepada TNT Sports.

"Kami perlu fokus pada diri sendiri, kami tidak boleh terlalu emosi mengenainya.

"Kami mempunyai satu lagi perlawanan, di laman sendiri, ia adalah perlawanan terakhir musim ini dan matlamat kami dan tugas kami jelas, kami perlu memenanginya.

"Kita akan lihat apa yang berlaku. Itulah pemikiran kita sekarang, menang perlawanan terakhir itu, berikan peminat perlawanan terakhir yang baik dan kita akan lihat. Ia di luar kawalan kami, kami hanya fokus pada permainan kami."

Pemain tengah Norway itu berkata pasukannya memberikan prestasi sangat mengagumkan musim ini.

"Kami mengambil langkah yang baik dan saya rasa kami adalah pasukan yang jauh lebih baik berbanding musim lalu," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 6:01 PM