Ainal Marhaton Abd Ghani


Berlokasi di sebelah Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, Restoran De Rhu Oriental yang memulakan operasi sejak 1 Januari 2014 menawarkan pelbagai sajian makanan dengan persekitaran berkonsepkan moden kontemporari dalam suasana tenang dan santai.

Pengusahanya yang juga jurumasak, Mohd Shahrel Sulaiman, 33, berkata, restoran itu menyajikan hidangan 100 peratus masakan Cina menggunakan resipi dan ramuan disediakan oleh tukang masak berpengalaman.

Menurutnya, sajian yang ada kuasa magnet menarik pelanggan ialah ‘Bruce Lee Steam Siakap’ kerana namanya yang eksklusif.

“Cara penyediaannya mudah sahaja iaitu ikan dikukus bersama halia dan cili padi berwarna merah bagi tempoh 15 minit untuk disebatikan rasanya. Sedikit air, sos soya dan sos perisa dimasak selama lima minit dan kemudian masukkan sedikit gula dan stok ayam.

“Selepas sos pekat, tuangkan di atas ikan yang sudah dikukus dan dihias dengan daun parsli Cina, lobak, daun bawang dan serbuk halia,” katanya.

Selain itu, udang goreng masam manis atau ‘sweet sour prawn’ pula menjadi pilihan mereka yang menggemari makanan laut.

“Kami menggunakan udang segar saiz besar yang digoreng menggunakan campuran tepung gandum dan tepung ubi.

“Bagi hidangan satu set 12 ekor udang, saya menggunakan satu senduk bersaiz sederhana gula pasir, sos cili, sos tomato, sos pelam dan sedikit air serta cuka yang dididihkan sehingga pekat.

“Selepas sos pekat, gaulkan dengan udang yang siap digoreng dan dihiasi dengan lada benggala supaya kelihatan lebih menarik. Ini adalah sebahagian daripada menu terbaru kami yang diperkenalkan kepada pelanggan bermula 1 April lalu,” katanya.

Selain dua sajian berkenaan, menu lain yang diubah suai dari segi resipi dan penyediaan ialah oxtail soup, namjing chicken, squid salter egg, claypot beancurd dan kailan garlic.

Menurut Shahrel, pelanggan juga boleh menikmati hidangan istimewa seperti ketam kulit lembut dalam tiga rasa iaitu ketam goreng rangup, ketam telur masin dan ketam kam heong pada harga antara RM50 hingga RM150.

“Selain sajian baru ini, kami masih mengekalkan menu sedia ada, secara tidak langsung pelanggan mempunyai banyak pilihan dengan harga ditawarkan berpatutan,” katanya.

Sebagai restoran yang menyajikan hidangan masakan Cina, De Rhu Oriental menawarkan sajian kombinasi salad atau sup, ayam, sayuran, telur, tauhu, ikan, udang, sotong, ayam, selain pelbagai jenis masakan berasaskan mi, bihun, kuetiau dan nasi.

Untuk pemanis mulut, restoran itu menyediakan puding mangga, jeli longan dan krim karamel pada harga RM8 bersaiz kecil dan RM24 (besar) dan pelbagai jenis minuman panas serta sejuk.

Ikan kukus Bruce Lee ada ‘kick’

“Ada rasa masam, manis serta pedas ditambah dengan aromanya yang menusuk cukup menyelerakan. Sajiannya cukup rasa, tiada yang terlebih mahupun terkurang,” begitulah pengakuan ikhlas Ariz, anggota kumpulan Forteen ditemani rakannya Ameer dan One mengenai hidangan yang dinikmati di Restoran De Rhu Oriental.

Katanya, semua masakan berasaskan ikan, ketam, udang, sotong, ayam serta sup ekor bertepatan dengan konsep diketengahkan restoran berkenaan yang sinonim dengan penyajian masakan Cina.

“Ada rasa Cina di situ tetapi tetap membuka selera pelanggan Melayu. Sentuhan tukang masaknya boleh saya katakan memang terbaik dan tiada cacat celanya dari segi rasa dan persembahan hidangan,” katannya.

One pula mencelah, “Tidak sekadar memuji tetapi memang terbukti ia menyelerakan dan lazat.”

Tatkala dikaitkan nama sajian ‘Bruce Lee Steam Siakap’, tiga rakan itu (tanpa kehadiran Izzue Islam) kelihatan terkejut sedikit tetapi pantas mengangkat ibu jari menunjukkan isyarat bagus.

“Ada ‘kick’ sesuai dengan nama sebab rasanya pedas berbanding sajian lain. Isi ikannya yang berwarna putih itu memang segar, manis dan lembut, begitu ‘merangsang’ selera hingga tinggal tulang semata,” kata Ameer pula.

Artis yang dikenali menerusi YouTube, Tasha Manshahar pula tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya dapat menikmati sajian sup ekor yang masih panas apatah lagi penyediaannya tidak pedas dan amat kurang berminyak.

“Sajian seperti ini sememangnya diperlukan oleh golongan artis kerana sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan masalah kesihatan terutama dari segi penjagaan suara.

“Saya juga sukakan siakap kukus Bruce Lee dan ayam namjing yang digoreng rangup dan kurang berminyak,” katanya.

Bagi penyanyi Radhi OAG, semua hidangan ‘awesome’ dan terbaik untuk pelanggan yang mementingkan kesihatan.

“Hidangannya tidak terlalu berminyak, kebanyakannya dikukus dan dihidangkan ketika panas dan menepati selera saya terutama udang masam manis dan tauhu Jepun,” katanya.

Artis-artis berkenaan bersama beberapa penyanyi lain, Syamel AF2015, Fahd Ezuan dan Deen Asimi serta Drama Band berada di Kuantan sempena Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:02 AM
BRUCE Lee Steam Siakap.
BRUCE Lee Steam Siakap.
UDANG goreng masam manis.
UDANG goreng masam manis.
KAILAN bawang putih.
KAILAN bawang putih.
ARTIS yang menjamu selera di Restoran De Rhu Oriental.
ARTIS yang menjamu selera di Restoran De Rhu Oriental.