Antara khemah gerai yang runtuh dilanda ribut. FOTO ihsan pembaca
Antara khemah gerai yang runtuh dilanda ribut. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Seri Iskandar: Peniaga wanita patah kaki kiri selepas dihempap khemah gerainya yang tumbang akibat ribut di Bandar Universiti, Seri Iskandar, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, Sharifah Hajar Syed Hasan, 52, sedang berniaga bihun sup bersama suami, Zulkifli Kasim, 52.

Kejadian ribut itu turut menyebabkan 14 gerai di Dataran Niaga Aman Jaya dan Gerai Santai Bandar Universiti mengalami kerosakan.

Zulkifli berkata, kejadian berlaku sangat pantas dan dia tidak sempat menyelamatkan isterinya.

Katanya, hujan pada waktu itu sangat lebat dan tiba-tiba angin kuat terus menumbangkan khemah.

"Ketika itu, isteri saya cuba berlindung di sebalik meja namun khemah terbalik dan menghempap kakinya.

"Isteri dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 8:18 PM