Kuala Lumpur: Good Vibes Festival (GVF) 2024 yang dijadualkan pada 20 dan 21 Julai ini dibatalkan bagi menghormati pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.

Penganjurnya, Future Sound Asia (FSA) membuat keputusan itu selepas Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-Puspal) meminda tarikh penganjuran konsert membabitkan artis luar negara pada 20 Julai ini.

"Disebabkan GVF menampilkan ramai artis yang terbabit dengan pelbagai siri jelajah lain, menukar jadual festival itu adalah agak mustahil. Oleh demikian, FSA memutuskan untuk membatalkannya.

"Semua pembeli tiket GVF secara automatik akan menerima pemulangan semula wang mereka mengikut kaedah pembayaran dilakukan sewaktu membelinya,"katanya dalam satu kenyataan.

GVF sepatutnya berlangsung di Resorts World Awana di Genting Highlands. Ini adalah tahun kedua berturut-turut GVF dibatalkan.

Tahun lalu, festival itu menjadi tajuk utama apabila ditangguhkan selepas hari pertama berikutan insiden kontroversi dicetuskan band dari United Kingdom iaitu The 1975.

Pada malam pembukaan festival tiga hari itu di Litar Antarabangsa Sepang, penyanyi utama The 1975, Matty Healy, mengkritik undang-undang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Malaysia sebelum mencium anggota kumpulannya.

Festival itu kemudian dibatalkan serta-merta meskipun masih berbaki dua hari. The 1975 turut disenaraihitamkan daripada membuat persembahan di Malaysia.

Terdahulu, JK-Puspal dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihak menerima lima permohonan penganjuran konsert artis luar negara pada 20 Julai yang bertindih dengan istiadat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 8:26 PM