Antara sebahagian khemah bazar Ramadan di Medan Nusari Sendayan yang runtuh akibat ribut petang semalam. FOTO Ihsan Peniaga
Antara sebahagian khemah bazar Ramadan di Medan Nusari Sendayan yang runtuh akibat ribut petang semalam. FOTO Ihsan Peniaga
Mohd Amin Jalil


Seremban: Peniaga bazar Ramadan di sekitar daerah ini berdepan ujian pada hari pertama memulakan perniagaan itu apabila diuji hujan lebat, ribut dan banjir kilat.

Sekurang-kurangnya 11 khemah peniaga bazar Ramadan di Medan Nusari Sendayan runtuh akibat hujan lebat dan ribut manakala 30 peniaga bazar Ramadan di Garden Homes Seremban 2, turut terjejas, petang semalam.

Peniaga yang juga petugas bazar berkenaan, Mohd Azmi Khamis, 37, berkata kejadian berlaku pada jam 3.30 petang ketika sebahagian besar peniaga baharu hendak memulakan perniagaan.

Beliau yang menjual nasi kerabu dan nasi lemak berlauk berkata, kejadian ribut berlaku begitu pantas bersama hujan lebat mengakibatkan khemah peniaga runtuh.

"Ketika sebahagian peniaga mula membuat persiapan membuka gerai masing-masing, angin ribut secara tiba-tiba meruntuhkan khemah.

"Ada barangan makanan yang hendak dijual rosak manakala ada yang sempat diselamatkan.

"Bagaimanapun peniaga kemudian dapat meneruskan semula perniagaan sebaik ribut reda walaupun ada barangan atau juadah itu yang sudah tidak boleh dijual," katanya di sini, hari ini.

Peniaga nasi berlauk dan ayam bakar, Zulfakri Meh, 50, berkata khemah miliknya turut runtuh akibat kejadian ribut berkenaan.

Beliau yang sudah berniaga di tapak itu sejak sekian lama lega kerana ketika kejadian barang dijual belum disusun di meja jualan.

"Ketika kejadian ribut itu saya baharu nak mula membuat persiapan di khemah dan terpaksa bergegas ke kawasan rumah kedai berhampiran bagi menyelamatkan diri dan barangan jualan," katanya.

Sementara itu, seramai 30 peniaga bazar Ramadan di Garden Homes Seremban 2 terpaksa bertungkus-lumus menyelamatkan peralatan niaga dan juadah yang dimasak bagi memastikan ia tidak rosak selepas lokasi bazar ditimpa banjir kilat.

Peniaga jagung, Mohamad Salleh Ahmad, 60, berkata air mula naik jam 4.30 petang dan membanjiri kawasan itu.

"Pengunjung bazar terpaksa mengharungi air ketika membeli juadah berbuka puasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 2:54 PM