RIDZWAN menunjukkan bumbung dapur rumahnya yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Yooi, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
RIDZWAN menunjukkan bumbung dapur rumahnya yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Yooi, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

Langkawi : "Saya tergamam apabila khemah berhampiran 'disedut' ke langit manakala banyak pokok besar tumbang menghempap jalan susulan kejadian ribut," ujar penduduk di Kampung Yooi, Badrulhisham Jaafar, 39.

Menurutnya, kejadian menyebabkan kediamannya, 16 rumah penduduk lain dan 15 kenderaan rosak akibat dihempap pokok atau serpihan bumbung rumah.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi semalam, ketika saya sedang memotong rumput di laluan masuk ke rumah.

"Hujan berlaku mendadak sebelum disusuli angin kuat yang menerbangkan sebuah khemah.

"Saya panik dan berselindung di sebalik sebatang pokok namun tergamam apabila melihat papan tanda dan pokok tumbang merintangi jalan raya satu persatu," katanya tadi.

Badrulhisham berkata, kejadian ribut kuat itu pertama kali dialaminya sejak menetap di kawasan itu bersama keluarga lebih 29 tahun lalu.

"Ketika kejadian saya melihat zink bumbung berterbangan di udara. Keadaan hanya reda sepenuhnya 30 minit kemudian," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Ridzwan Fadzil, 27, berkata, dapur rumahnya rosak teruk apabila keseluruhan bumbung diterbangkan angin.

"Namun, saya bersyukur kerana isteri, Juanira Jaafar, 31, dan anak tunggal kami, Aina Nuinsyirah, lima tahun, tidak cedera.

"Ketika kejadian mereka berada di ruang tamu rumah, manakala saya berada di rumah jiran bersebelahan," katanya ketika ditemui di sini.

Media semalam melaporkan sebanyak 20 premis dan 15 kenderaan rosak, manakala lalu lintas tergendala kira-kira 40 minit akibat kejadian itu.

Tinjauan semalam mendapati kerja membersihkan sisa pokok tumbang dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk, selain dibantu kakitangan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus, ketika dihubungi berkata, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dijangka mengunjungi rumah penduduk yang terjejas untuk penyerahan bantuan.

Berita berkaitan

Premis, kenderaan rosak akibat ribut

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 7:17 PM