FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan di Stadium Mini Bagan Serai, di sini, terbantut selepas 20 khemah yang didirikan musnah dalam kejadian hujan lebat dan ribut, petang tadi.

Dalam kejadian 4.45 petang itu, empat kereta di perkarangan tempat letak kereta stadium itu turut rosak dihempap beberapa khemah yang diterbangkan angin.

Peniaga, Aqilah Azhar,22, berkata, dia yang sudah melarikan diri ke dalam kawasan berbumbung stadium terpaksa berpatah balik ke khemah bagi menarik ayahnya yang pada waktu itu memegang erat khemah.

Dia berkata, ayahnya, Azhar Jamaluddin, 53, pada ketika itu memegang erat tiang khemah bagi mengelak daripada khemah milik mereka diterbangkan angin.

"Apabila melihat pusaran angin mula mendekati khemah, saya segera berpatah balik dan menjerit meminta ayah melepaskan tiang khemah yang dipegang dan memintanya menyelamatkan diri.

"Mujurlah ayah mendengar jeritan saya dan segera berlari memasuki dewan utama untuk menyelamatkan diri. Kami kerugian kira-kira RM3,000 akibat kejadian itu namun bersyukur selamat," katanya.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Norizan,31, berkata, selain dari khemahnya yang musnah, kereta jenis Perodua Viva miliknya turut mengalami kerosakan teruk di bahagian cermin dan lampu belakang.

"Kesemua barangan habis diterbangkan angin dan ketika cuba mengutipnya semula keseluruhan khemah saya diterbangkan ribut kuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 9:57 PM