ASYRAF Wajdi, gambar fail. FOTO NSTP
ASYRAF Wajdi, gambar fail. FOTO NSTP
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Masa depan lebih 280,000 calon yang gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hanya lulus tanpa kredit dalam mana-mana mata pelajaran perlu lebih dirisaukan berbanding isu kuota Bumiputera di Pusat Matrikulasi.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah itu belum termasuk 10,160 calon yang tidak hadir SPM dan purata lebih 30,000 pelajar setahun yang tidak mendaftar untuk mengambil peperiksaan itu.

"Ramai risau bila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) umum semua lepasan SPM dengan 10A layak masuk Matrikulasi tanpa kira kaum, sedangkan beliau hanya memberikan jaminan yang sememangnya dilaksanakan sejak dulu lagi, bahkan kuota Bumiputera untuk masuk ke Pusat Matrikulasi tetap kekal terjamin.

"Apa yang patut dirisaukan adalah lebih 280,000 yang gagal SPM atau hanya lulus tanpa kredit. Mereka ini yang tercicir dan tidak layak masuk matrikulasi," kata beliau melalui Facebooknya, hari ini.

Perdana Menteri, hari ini menegaskan kuota Bumiputera akan terus dipertahankan biarpun kerajaan mengumumkan keputusan memberi jaminan tempat di matrikulasi kepada calon cemerlang SPM tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Perdana Menteri berkata, sejak pengumuman itu dibuat, keputusan terbabit menjadi bualan dan polemik serta menghangatkan suhu politik.

Katanya, kuota itu tetap dikekalkan kerana ia termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menjadi jawapan kepada hala tuju lepasan SPM yang gagal dan tidak mendapat tempat di Pusat Matrikulasi.

Katanya, Dasar TVET Negara diwujudkan, dengan Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menyelaras 1,345 institusi TVET di bawah 12 kementerian, yang menawarkan lebih 4,000 bidang kemahiran TVET dengan peluang penempatan untuk lebih 250,000 tempat.

Mara sendiri katanya, mempunyai institusi TVET terbanyak, dengan 270 institusi, termasuk GiatMARA, Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) sehingga Universiti Kuala Lumpur (UniKL)

"Hari ini, negara sudah mengiktiraf TVET sebagai aliran pendidikan perdana dan tidak lagi memerlukan SPM saja sebagai syarat minima untuk bekerja.

"Dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, pelajar boleh sambung (pengajian) peringkat diploma, manakala SKM Tahap 4 boleh terus sambung ijazah sarjana muda tanpa perlu mengambil SPM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 8:29 PM