KHEMAH terbalik diterbangkan ribut. FOTO ihsan Suhaila Yahya
KHEMAH terbalik diterbangkan ribut. FOTO ihsan Suhaila Yahya
Muhaamad Hafis Nawawi


“MUJUR ketika kejadian tetamu masih belum datang dan saya hanya mampu menangis apabila melihat lima khemah dan pelamin terbalik diterbangkan ribut yang datang secara tiba-tiba,” kata pengantin, Suhaila Yahya, 24.

Dalam kejadian 10 pagi hari ini, persiapan menyambut tetamu pada majlis perkahwinannya dengan pasangannya Tuan Rohasmuin Tuan Daud, 33, di Pangsapuri Damansara Bistari, Seksyen 19, Petaling Jaya tergendala seketika selepas dilanda ribut.

Suhaila berkata, ketika itu lauk-pauk baru siap dimasak secara bergotong-royong oleh penduduk sementara dia memasang alas meja di bawah khemah.

Menurutnya, sebaik selesai dia kemudian naik ke tingkat enam untuk bersiap bagi majlis akad nikah yang berlangsung selepas solat Zohor.

“Namun baru beberapa minit naik tiba-tiba saya diberitahu khemah dan pelamin habis terbalik diterbangkan angin.

“Sedangkan ketika itu tiada langsung tanda seperti ingin hujan namun tidak sangka ia berlaku sekelip mata sehingga saya menangis dan meminta bantuan pihak yang memasang khemah supaya datang semula untuk menolong.

“Cuma penduduk memberitahu mereka ada lihat angin berpusing sebelum khemah terangkat dan terbalik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

KHEMAH terbalik diterbangkan ribut. FOTO ihsan Suhaila Yahya
KHEMAH terbalik diterbangkan ribut. FOTO ihsan Suhaila Yahya

Katanya, hujan mula reda selepas seorang penduduk mengalunkan azan dan penduduk kemudian membantu mengalihkan khemah yang terbalik dan terkena kereta menyebabkan cerminya pecah.

“Bagaimanapun saya bersyukur tiada kejadian tidak diingini berlaku kerana ketika itu tetamu belum hadir dan sempat membaikpulih semula pelamin yang rosak.

“Alhamdulillah majlis berjalan lancar dan saya selamat dinikahkan 3 petang tadi di Surau Al Ikhlas berhampiran pangsapuri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 8:12 PM