Keadaan khemah yang dipasang pengusaha khemah sewa yang menyebabkan ramai orang tidak puas hati kerana terlindung daripada pandangan ketika anak-anak mereka mandi laut. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Keadaan khemah yang dipasang pengusaha khemah sewa yang menyebabkan ramai orang tidak puas hati kerana terlindung daripada pandangan ketika anak-anak mereka mandi laut. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pihak pengendali khemah peniaga di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson didapati melanggar peraturan ditetapkan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sehingga menyebabkan kawasan pantai itu dipenuhi khemah.

Keadaan itu menimbulkan rungutan dalam kalangan pengunjung ke pantai itu sempena cuti sekolah dan Tahun Baharu Cina, sehingga ada yang melabelkan situasi itu seolah-olah pasar tani.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sejak Sabtu hingga semalam, pengunjung pantai sekitar Port Dickson adalah paling ramai sejak kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, persetujuan bersama sudah dicapai sebelum ini antara pihak MPPD dengan peniaga khemah terbabit selain panduan turut diberikan, malah mereka berjanji mengehadkan jumlah khemah.

"Bagaimanapun apabila pengunjung terlalu ramai dan sambutan terhadap khemah di luar jangka, mereka (peniaga) terus melanggar apa yang dijanjikan.

"Walaupun masyarakat di luar sana membuat teguran, tapi kita sedia maklum ini adalah peluang untuk mereka mendapatkan sikit pendapatan hasil sewaan khemah.

"Namun begitu, saya tegaskan bahawa selepas ini kerajaan negeri dan MPPD akan bertegas terhadap perkara ini dan tindakan penguatkuasaan akan dilakukan terhadap mereka yang melanggar peraturan ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pertemuan Mesra Tahun Baharu Cina 2022 anjuran Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan (DPCNS) di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi DPCNS, Wong Keng Tong.

Aminuddin berkata, pihaknya akan mengambil perhatian serius mengenai perkara itu kerana kerajaan negeri tidak mahu kawasan pantai menjadi sebagai lokasi perkhemahan.

"Memang kita sudah tetapkan kawasan tepi pantai tidak boleh dijadikan tempat mendirikan khemah.

"Saya setuju dengan pandangan segelintir pengunjung yang melabelkan keadaan itu seperti pasar tani.

"Kita akan melihat perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya. Kita (kerajaan negeri dan MPPD) memang tidak memberi kebenaran kepada peniaga untuk memasang khemah sehingga mengganggu pemandangan pengunjung," katanya.

Beliau berkata, terdapat pihak diamanahkan untuk mengendalikan perkhidmatan sewaan khemah itu, tetapi apabila sambutan diterima amat baik, mereka memanfaatkan peluang itu.

Menurutnya, sejak pelaksanaan PKP sebelum ini, jumlah pengunjung ke pantai peranginan popular itu jauh menurun dan kehadiran ramai pengunjung diambil peluang oleh peniaga.

Semalam, beberapa pengunjung di pantai peranginan itu tidak puas hati selepas mendapati kawasan tepi pantai dipenuhi khemah yang dipasang pengusaha sewa dan menyebabkan pemandangan pengunjung terhalang.

Malah, keselesaan mereka berkelah termasuk bersantai di tepi pantai sambil melihat anak mandi manda di laut terhalang oleh khemah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 3:44 PM