GAMBAR kenangan Muhammad Alamin bersama rakannya sebelum berpisah. FOTO Ihsan Mazlan Mustafa
GAMBAR kenangan Muhammad Alamin bersama rakannya sebelum berpisah. FOTO Ihsan Mazlan Mustafa
Redzuan Muharam


Kota Bharu: Selepas tiga tahun menetap di negara ini, Muhammad Alamin Abu Bakar pulang semula ke tanah airnya di Nigeria pada Jumaat lalu.

Pemergian Muhammad Alamin, 14, atau mesra disapa Mat ditangisi rakan baik dan jiran terdekat yang terpaksa mengucapkan salam perpisahan dengan berat hati.

Kisah Mat mendapat perhatian selepas Mazlan Mustafa, 59, yang juga pesara pembantu awam Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini, memuat naik video kenangan terakhir bersama Mat sebelum remaja itu berangkat pulang ke tanah airnya.

Berkongsi kisah di sebalik video itu, Mazlan berkata, dia mengenali Mat selepas remaja itu berhijrah dari Nigeria ke taman perumahannya di Bandar Kubang Kerian, di sini.

"Kami jiran satu taman dan Mat datang ke sini kerana mengikut bapanya yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"Ketika baru datang dulu, Mat memang tak pandai cakap bahasa Melayu dan bersembang dengan rakannya dalam bahasa Inggeris.

"Tapi saya minta rakan yang selalu bermain dengannya untuk biasakan sembang dalam bahasa Melayu.

"Dalam masa setahun, Mat boleh cakap bahasa Melayu malah boleh bertutur dialek Kelantan kerana dia selalu bermain bola sepak dan malam pula rajin datang surau. Mat pula cepat belajar jadi itu yang buat dia cepat fasih," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MUHAMMAD Alamin bergambar kenangan dengan rakan karibnya di lapangan terbang. FOTO Ihsan Mazlan Mustafa
MUHAMMAD Alamin bergambar kenangan dengan rakan karibnya di lapangan terbang. FOTO Ihsan Mazlan Mustafa

Menurut Mazlan, terlalu banyak kenangan dan memori tercipta dengan Mat tidak dapat dilupakan sepanjang perkenalan mereka.

"Antaranya adalah bawa Mat berjalan dan ikutkan, Mat senang dibawa pergi makan kerana tak memilih.

"Ikutkan Mat pemalu orangnya tapi boleh jadi mesra apabila sudah biasa dengannya.

"Dia pun suka menolong dan pernah bantu laungkan azan di surau jadi pemergian Mat adalah kehilangan besar buat kami," katanya.

Sebelum mengucapkan selamat tinggal, Mazlan membawa Mat dan rakan makan bersama sebelum menghantarnya ke lapangan terbang.

"Selepas makan, saya sampaikan hadiah jersi dan kasut bola kepadanya dan nampak Mat menangis.

"Rakannya pun ada bagi hadiah beg, jam dan baju..mereka pun sedih tempoh hari kerana nampak ceria awalnya tapi diam ketika dalam perjalanan pulang selepas hantar Mat ke lapangan terbang.

"Saya pun sebak juga namun silaturahim terjalin tidak akan terputus kerana kami akan terus berhubung dengan Mat walaupun sudah berjauhan.

"Mat pun ada beritahu dia nak kembali ke Malaysia untuk sambung belajar jika ada rezeki jadi semoga kami diizinkan Allah SWT untuk berjumpa lagi," katanya.

MAZLAN Musfafa menghadiahkan jersi dan kasut bola kepada Muhammad Alamin. FOTO Ihsan Mazlan Mustafa
MAZLAN Musfafa menghadiahkan jersi dan kasut bola kepada Muhammad Alamin. FOTO Ihsan Mazlan Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 8:21 PM