PENGGUNAAN pelbagai warna dalam ‘The Family’.
PENGGUNAAN pelbagai warna dalam ‘The Family’.
Siti Salmiah A Hamid


Gaya dan teknik lukisan yang diketengahkan jelas menunjukkan pelukis wanita terkenal ini masih setia dengan permainan berus.

Mungkin ramai artis muda zaman ini tidak mengenali nama Puan Sri Norma Abbas, namun bakat dan keupayaan wanita ini setanding artis kontemporari yang mencipta nama pada era 80-an.

Norma Abbas kembali menerusi pameran terbarunya, Kembara Pelangi Menuju Janji bagi menggambarkan hubungan warna-warni seniman berkenaan penuh pelbagai emosi dengan keluarga, kawan rapat, alam semula jadi dan perjalanan rohaninya.

Penonton pastinya memahami maksud hubungan yang dinyatakan dalam semua karya akrilik beliau apabila wujud hubungan kasih sayang dan kecintaan sesama manusia.

Lakaran pelbagai warna kelihatan menarik, sekali gus menghidupkan semua figura yang menghiasi karya berkenaan.

Malah, hikayat Rama & Sita menarik penonton dalam kalangan masyarakat India untuk menghayati kisah cinta dewa ini.

Seniman Norma Abbas juga tidak ketinggalan mengucapkan syukur menerusi karya beliau dengan melahirkan 99 Nama-Nama Allah.

Ia dihasilkan dalam bentuk abstrak dan campuran media, namun dengan satu tujuan menzahirkan hati nurani beliau sebagai seorang umat Islam ke atas kekuasaan Ilahi.

“Tapi, ia bukan seni kaligrafi kerana kaligrafi memiliki kecantikannya tersendiri, simetri dan spektrum warnanya tentu lebih indah.

“Karya berkenaan pada dasarnya dihasilkan menurut geometri. Setiap nama Allah memiliki kekuatan dan tenaga tersendiri.

“Saya menghasilkannya dengan konsep berbeza, lebih kepada perasaan dan naluri diri,” katanya.

Orang ramai yang berminat dijemput untuk menghayati karya sentuhan Norma Abbas di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 6:38 AM