KHUSYUK Benji menyiapkan lukisan doodle.
KHUSYUK Benji menyiapkan lukisan doodle.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Karya seni contengan atau doodle sememangnya semakin popular dalam kalangan masyarakat dan memiliki kelompok peminat yang tersendiri.

Ia bukan sekadar lakaran contengan 'malas' sebaliknya ekspresi seni yang menterjemahkan kreativiti pelukisnya.

Bagi pengasas Attitude Planet Art (APA) Art, Fauzi Abd Majid, 48, lakaran doodle sebelum ini dianggap sebagai salah satu contengan seni yang paling 'malas' dan kurang dihargai. Namun, ia kini sudah dikomersil dan memiliki kelompok peminat tersendiri.

"Dahulu, masyarakat lebih menggemari lukisan terutama jenis potret tetapi sejak kebelakangan ini lakaran doodle pula yang menjadi pilihan.

"Ia adalah salah satu alternatif seni yang sesuai untuk semua peringkat umur tanpa mengira jantina.

DOODLE jenis flora antara yang digemari masyarakat.
DOODLE jenis flora antara yang digemari masyarakat.

"Lebih istimewa, ia boleh dikomersilkan dalam pelbagai medium antaranya baju T, mural, aksesori seperti kasut dan beg, poskad dan sebagainya," katanya.

Fauzi yang lebih mesra disapa dengan panggilan Benji berkata, dia menggemari seni lakaran contengan itu sejak zaman muda namun tidak sangka ia kini boleh menghasilkan pendapatan sampingan.

Kata Benji, terdapat banyak jenis lakaran doodle antaranya watak animasi, flora, fauna dan corak.

"Saya sendiri lebih menggemari lakaran doodle jenis corak dan flora kerana jiwa lebih terarah kepada alam semula jadi.

KARYA contengan kini semakin popular dan mampu dikomersil untuk menghasilkan pendapatan.
KARYA contengan kini semakin popular dan mampu dikomersil untuk menghasilkan pendapatan.

"Selain itu, lakaran doodle jenis corak dan bunga-bungaan (flora) juga digemari ramai dan tidak terlalu rumit untuk diterjemahkan," katanya.

Sementara itu, hasil lakaran Benji turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa apabila salah satu lakaran doodlenya dibawa ke sebuah pameran seni di Paris, Perancis tidak lama dahulu.

Lakaran yang memaparkan imej pakaian tradisional masyarakat Malaysia, kebaya itu mendapat perhatian kerana keunikan yang tersendiri.

Kreativiti Benji dan seni doodle turut diiktiraf di peringkat tempatan apabila karyanya pernah dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara pada 2008 sempena Pameran Earthwinds.

LAKARAN doodle jenis corak juga menjadi pilihan ramai.
LAKARAN doodle jenis corak juga menjadi pilihan ramai.

"Lakaran doodle itu mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan dan ia menggunakan teknik garisan serta titik.

"Biarpun ada yang meminta untuk membeli tetapi saya tidak menjualnya kerana sayang dan ia juga memberi makna tersendiri.

"Lakaran doodle yang dihasilkan juga tidak pernah dipertandingkan kerana ia dihasilkan demi minat dan kepuasan diri," katanya yang turut muncul dalam dalam video promosi merdeka Pustaka Negeri Sarawak tahun ini.

MENARIK antara lukisan doodle yang dihasilkan Benji.
MENARIK antara lukisan doodle yang dihasilkan Benji.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 6:20 AM