LAKARAN mesej flora dan fauna sebagai subjek di atas kanvas.
LAKARAN mesej flora dan fauna sebagai subjek di atas kanvas.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Pengunjung pastinya terpesona dan membuang pandangan skeptikal sebaik saja menyaksikan pameran di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ).

Lakaran 25 pelukis di pameran Bauran Warna Alam itu membuktikan mereka mempunyai bakat besar hasil pembelajaran Program Pendidikan Seni dan Senireka, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Lebih 60 karya dihasilkan namun hanya 30 dipertontonkan kepada umum manakala 10 keping terjual.

Penasihat Projek, Roslaili Anuar berkata, pameran itu dianggap permulaan penerokaan siswa selepas sesi lawatan dan pemerhatian ke atas alam sekitar di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Taman Negara Pahang.

Kelangsungan itu membolehkan siswa melontarkan idea kreatif di atas kanvas menerusi medium akrilik dan cat minyak dengan harga serendah RM500.

Mesej yang cuba disampaikan jelas apabila menggunakan flora dan fauna sebagai subjek dengan maksud agar masyarakat menghargai warisan alam.

Mainan warna menarik dipersembahkan dan tidak tertakluk kepada warna hijau semata yang sebati dengan bauran alam. Manakala, corak serta tekstur sapuan warna melahirkan perasaan sebenar siswa yang mahu mempertahankan alam sekitar terhadap kepentingan ekosistem.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 12:17 PM