RUANG yang menempatkan pameran SELSIUS 2016.
RUANG yang menempatkan pameran SELSIUS 2016.
BIO-CITY Series karya Dr Shamsu Mohamad.
BIO-CITY Series karya Dr Shamsu Mohamad.
OSTREIDAE rah Satang karya Mohamad Zamhari Abol Hassan.
OSTREIDAE rah Satang karya Mohamad Zamhari Abol Hassan.
MUHAMAD Azhar Ismail menerusi Muhaka.
MUHAMAD Azhar Ismail menerusi Muhaka.
Siti Salmiah A Hamid


“Berapa Celsius?” Itu antara pertanyaan sering dilontarkan ketika membicarakan mengenai seramik seni, kraf dan industri.

Celsius di sini merujuk kepada takat suhu pembakaran seramik yang dipraktikkan seniman, pereka, usahawan kraf dan teknologi industri.

Perkataan Celsius adalah metafora kepada semangat dan impian agar seni seramik kontemporari negara sentiasa berkembang di persada antarabangsa.

Pameran SELSIUS 2016 pada Festival Seramik Antarabangsa antara wadah dan wahana kepada seniman seramik lama dan baru dalam menzahirkan idea kreatif yang bersinergi dengan teknologi mutakhir.

Sejarah SELSIUS pertama bermula pada 2005 apabila dianjurkan Bahagian Reka Bentuk, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM).

Ia dianggap sebagai gestur ke arah perkembangan seni seramik kontemporari negara yang lebih dinamik.

Suhu SELSIUS terus membara apabila penganjurannya pada tahun ini berjaya menarik penyertaan 30 artis antarabangsa dan 42 artis tempatan.

SELSIUS 2016 adalah pameran seramik antarabangsa terbesar pernah dianjurkan dalam sejarah negara.

Perubahan paradigma seniman seramik melalui karya yang dipamerkan mampu meningkatkan apresiasi, memberi kefahaman dan mengubah persepsi penonton mengenai seramik yang sering kali dikaitkan dengan produk dan kraf.

Kurator dan pengasas pameran SELSIUS Dr Shamsu Mohamed berkata, pameran pertama di Galeri USM membuka peluang kepada seniman tempatan menonjolkan hasil karya masing-masing.

“Pameran SELSIUS kedua masih dikuasai artis tempatan ketika ia diadakan di The Souq, Putrajaya.

“Sejak 2007, kami menarik perhatian seniman antarabangsa menerusi kolaborasi seni dengan beberapa negara seperti Jepun, Korea Selatan, China dan United Kingdom dengan mengadakan pameran di Balai Seni Visual Negara.

“Hasil kerjasama bersama seniman seni luar negara membolehkan SELSIUS dikenali hingga ke peringkat antarabangsa apabila tahun ini sebanyak 11 negara menyertai Festival Seramik Antarabangsa ke-7 iaitu Korea Selatan, Turki, China, India, Thailand, Amerika Syarikat, Switzerland, Jepun, Singapura, Indonesia dan Malaysia.

“Jumlah itu sebenarnya dikecilkan berbanding tahun 2014 ketika penganjuran festival di Pulau Pinang yang menjemput 34 artis luar negara untuk menyertai SELSIUS.

“Meskipun begitu, sentuhan bakat baru tampak lebih meriah dan bertenaga apabila digabungkan dengan seniman lama dan artis luar.

“Justeru, karya yang dihasilkan artis tempatan memiliki kualiti tersendiri, malah memiliki ciri-ciri yang melambangkan budaya dan agama sesuatu kaum,” katanya.

Turut terbabit, kumpulan bakat baru seramai 15 pengkarya dari Institut Kraf Negara (IKN), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tanpa tema khusus, artis berperanan dan berpeluang melahirkan kecintaan mereka terhadap sesuatu aspek dan ia bersifat lebih terbuka, berfungsi, instalasi, arca dan separa fungsi.

Antara ilham terbabit disalurkan artis Ibrahim Don menerusi karyanya ‘Kalimah’ dengan melahirkan kepingan pinggan arca dihiasi kaligrafi yang memuji kebesaran Ilahi.

Tan Vooi Yam pula gemar bermain dengan ekspresi wajah manusia menerusi penghasilan karyanya bertajuk What’s Happen?!.

Manusia digambarkan dengan kepala bulat, hidung dan mulut besar seolah-olah mempersoalkan pelbagai kejadian yang sedang berlaku di sekeliling kita hari ini dan akibat yang ditanggung manusia.

Mohamad Akmal Daros menerusi ciptaannya ‘War at End of The World’ pula jelas memperlihatkan penguasaan kuasa besar ke atas negara kecil akan berakhir dengan peperangan hingga memusnahkan kediaman, bandar, masyarakat seterusnya negara.

Sebagai artis, pelbagai teknik dan bahan boleh digunakan, malah kerja tangan itu dikatakan sebati dengan seseorang artis dengan melahirkan identiti mereka sendiri.

Sama ada menggunakan porselin, terra cotta, bone china, stoneware, earthenware, slip casting clay atau gelas, ia memiliki nilai tersendiri dan terpulang kepada seniman untuk melahirkan karya agung dari pandangan matanya.

Malah, Dr Shamsu sendiri turut menyumbang karya berjudul ‘Bio-City Series’ menggunakan bahan porselin dan batang pisang.

Terdapat 150 pasu bersaiz sederhana dihasilkan dan semuanya ditanam dengan batang pisang sebagai usaha mendidik generasi masa kini untuk mengenali alam semula jadi dengan lebih dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 1:34 PM