ISA mengadakan pameran solo pertamanya bertajuk ‘Kisah Isa Ishak’ di ZHAN Art | Space.
ISA mengadakan pameran solo pertamanya bertajuk ‘Kisah Isa Ishak’ di ZHAN Art | Space.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SENIMAN kontemporari, Isa Ishak mengadakan pameran solo pertamanya bertajuk Kisah Isa Ishak di ZHAN Art | Space.

Pameran itu mengetengahkan perjalanan Isa sebagai seorang seniman baharu, ayah muda, anak dan suami yang penyayang.

Karya terbaharunya itu juga banyak menceritakan mengenai proses dirinya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh kemudian bertukar bidang menjadi seorang seniman.

Sejumlah 26 karya seni dihasilkan Isa dan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 'diri' dan 'disiplin diri.'

Pameran 'diri' membabitkan 16 karya seni figuratif abstrak yang menunjukkan pencarian Isa untuk perhubungan, penerokaan, pertanyaan dan dokumentasi pencapaian penting dalam kehidupan peribadinya.

Sepuluh karya seni yang lain pula dipamerkan sebagai 'disiplin diri,' diilhamkan menerusi alam semula jadi dan keindahan struktur pokok bonsai.

LUKISAN yang penuh bermakna daripada perjalanan hidup Isa.
LUKISAN yang penuh bermakna daripada perjalanan hidup Isa.

Potret pokok bonsai itu jelas mencerminkan hubungan manusia dengan proses dan pertumbuhan pokok.

Isa dilihat menerokai idea penerimaan dan perjuangan sendiri untuk menyesuaikan diri dalam sebuah masyarakat.

Pameran secara tidak langsung turut menjemput penonton untuk merenung pandangan dan emosi sendiri bersama.

KISAH peribadi yang diterjemahkan kepada lukisan.
KISAH peribadi yang diterjemahkan kepada lukisan.

"Karya seni ini adalah dialog visual detik yang diambil ketika perjalanan saya bermula sebagai pekerja buruh apabila saya membina rumah kampung suatu masa dahulu sehingga menjadi seniman.

"Kisah Isa Ishak ialah kisah peribadi yang amat bermakna dan mencerminkan beberapa peranan saya," katanya.

Sementara itu, Pengasas ZHAN Art | Space, Desmond Tong berkata, menerusi pameran Kisah Isa Ishak, pihaknya ingin menjelaskan detik tertentu yang mungkin tidak pernah orang ramai fahami.

Ia berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang agak lama di Malaysia bagi menangani penularan Covid-19.

ANTARA karya seni yang dihasilkan oleh Isa.
ANTARA karya seni yang dihasilkan oleh Isa.

"Pameran ini berharap emosi dan kemahiran Isa diterjemahkan dalam lukisan selain pada masa sama dapat mendokumentasikan perbezaan serta persamaan perasaan untuk menyatukan semua penonton," kata Desmond.

Menariknya, pameran berkenaan memaparkan 26 karya seni dan harga jualan bermula daripada RM570.

Bagi yang berminat, pameran itu diadakan di ZHAN Art | Space, The School, Jaya One, Petaling Jaya, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 7:00 AM