Pembantu Jurutera Kanan AELB Zulkefle Hussin (tengah) bersama Alzafny menunjukkan model projektor radioaktif pada sidang media di IPD Klang Selatan. FOTO Muhammad Sulaiman
Pembantu Jurutera Kanan AELB Zulkefle Hussin (tengah) bersama Alzafny menunjukkan model projektor radioaktif pada sidang media di IPD Klang Selatan. FOTO Muhammad Sulaiman
Faliq Lajim


Klang: Polis menahan lapan individu yang dipercayai terbabit dalam kes curi projektor radioaktif di Sungai Kandis, Batu Tiga, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, projektor radioaktif itu dicuri dalam sebuah kenderaan jenis Proton Saga Iswara yang diletakkan di hadapan rumah kedai.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, semua suspek ditahan di sekitar daerah ini pada Jumaat dan Sabtu lalu.

"Semua yang ditahan berusia antara 26 hingga 37 tahun. Dengan penahanan itu, kami dapat mengesan semua projektor yang dicuri.

"Serpihan projektor itu dijual di sebuah kedai lusuh di Kampung Jawa dan bakinya diletakkan dalam stor di Pangsapuri Sri Era, Desa Latania, dekat sini," katanya.

Projektor radioaktif dipercayai Iridium 192 itu digunakan untuk mengimbas kimpalan kebocoran gas dalam industri cari gali minyak.

Difahamkan, empat daripada lelaki yang ditahan itu adalah pekerja sebuah syarikat yang terbabit dalam industri cari gali minyak.

Sabtu lalu, penduduk Pangsapuri Sri Era gempar apabila dua bekas berisi bahan radioaktif disimpan dalam bilik stor di blok 4 kediaman itu.

Kehadiran polis bersama pakar nuklear dari Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) Sabtu malam turut mengejutkan penduduk.

Alzafny berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 1:15 PM