Nur Izzati Izzah Nadzi

NELAYAN warga Indonesia ditemui mati dengan kesan kelar pada leher di rumahnya di Bagan Teo Chew, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang hari ini.

Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di sebuah bilik di rumah berkenaan oleh orang awam sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.10 pagi sebelum pasukan forensik IPK Selangor ke lokasi.

"Mangsa yang dikenali sebagai Dani, 25, ditemui dalam keadaan tertiarap di sebuah bilik dengan kesan kelar pada leher dan luka di badan dan tangan.

"Motif kejadian dipercayai suspek cemburu dengan mangsa yang ada hubungan dengan teman wanita suspek," katanya.

Alzafny berkata, seorang lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun yang dipanggil 'Bayu' kini dicari bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 6:46 PM