Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Polis menemui beberapa bahan radioaktif yang dipercayai dicuri daripada syarikat berkaitan cari gali minyak di dua lokasi di sekitar daerah ini dan Klang, semalam.

Bahan dipercayai Iridium 192 itu dicuri daripada cawangan syarikat berkenaan di Klang, awal minggu ini, sebelum laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut.

Sumber polis berkata, bahan itu ditemui di sebuah premis barang lusuh di Klang, petang semalam, sebelum siasatan membawa ke sebuah pangsapuri di Seksyen 36, di sini.

"Operasi dijalankan oleh polis dan pakar nuklear dari Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia di dua premis itu untuk mendapatkan semula bahan berkenaan.

"Selain berjaya menemuinya, polis turut mengenal pasti individu yang menjual bahan itu kepada penjual barang lusuh berkenaan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian itu dan berkata beberapa individu ditahan bagi membantu siasatan.

"Ia bahan yang mempunyai radiasi dan yang amat berbahaya sekiranya bocor. Kes itu bagaimanapun masih dalam siasatan," katanya memaklumkan sidang media mengenainya akan dibuat bersama AELB, pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 4:55 PM