Firdaus Hashim


Shah Alam: Pengendali PKNS FC E Elavarasan (kanan) memuji penjaga gol Muhammad Zamir Selamat apabila menyelamatkan banyak percubaan Perak sekali gus meraih kemenangan 3-0 di Stadium Shah Alam, petang semalam.

Jelas Elavarasan biarpun pemain tengah importnya, Lucas Espindola menghadiahkan dua gol buat skuad Semut Merah, namun beliau lebih melihat kecemerlangan Zamir sebagai titik tolak kepada kemenangan pasukannya itu.

“Kejayaan Zamir menyelamatkan sepakan penalti pada awal babak kedua, boleh diibaratkan sebagai titik tolak kepada kami untuk lebih yakin dan bermotivasi.

“Perak dilihat begitu giat melancarkan serangan untuk mendapatkan gol dan saya yakin jika keputusan menjadi 2-1, pastinya keputusan berlainan dapat disaksikan pada perlawanan ini kerana apapun boleh berlaku ketika kedudukan sebegitu.

“Apapun, situasi itu sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada kami dan saya gembira dengan prestasi jentera serangan yang menjaringkan tiga gol,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di sini, semalam.

Dalam aksi itu, awang import PKNS dari Argentina, Espindola berjaya memahat namanya selaku penjaring apabila meledak dua gol pada minit ke-45 dan 47.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Safee Sali melengkapkan hari sempurna buat skuad kendalian Elavarasan itu menerusi gol ketiga pada minit ke-84 sekali gus memastikan tuan rumah memungut tiga mata.

Sementara itu, pengendali Bos Gaurus Karl Heinz Weigang tetap berfikiran positif dan enggan menyifatkan kekalahan besar itu sebagai persembahan terburuk anak buahnya selepas tewas buat kali pertama dalam empat perlawanan setakat ini.

“Kami membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol pertama yang mudah dan ketinggalan satu gol ketika menuju ke bilik persalinan itu memberi kesan kepada pemain.

“Namun, saya akui PKNS lebih baik. Jadi mereka berhak menang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 5:05 AM