Elavarasan berpuashati dengan prestasi skuad. FOTO Rasul Azli Samad
Elavarasan berpuashati dengan prestasi skuad. FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar

 

MELAKA: Jurulatih Melaka United (MU), E Elavarasan berpuas hati dengan persembahan pasukan itu walaupun gagal layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Kejayaan skuad terbabit mengekalkan kedudukan di Liga Super (MSL) dengan bonus menduduki tangga ketiga Kumpulan B pada saingan Piala Malaysia dilihat kejayaan positif berikutan sebelumnya berdepan situasi getir terjatuh ke Liga Perdana.

Elavarasan yang mengambil alih tugas Eduardo Almeida pada pertengahan liga nyata berjaya menyuntik nafas baharu buat skuad berkenaan yang sebelumnya berada pada tahap membimbangkan.

Beliau berkata, cuma sedikit kelonggaran pada aksi berdepan PDRM dan PKNS pada peringkat kumpulan menyaksikan skuad bimbingannya terkeluar dari saingan ke suku akhir yang akhirnya menjadi milik FELDA United dan The Red Ants.

"Namun keseluruhannya skuad kali ini amat baik dan jika dikekalkan mereka mampu menakluk saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim depan.

"Apapun, semuanya terserah kepada pengurusan baharu pasukan MU selepas ini sama ada mengekalkan pemain berkenaan atau sebaliknya. Pada saya, skuad ini amat memberangsangkan untuk menyerlah, cuma hanya sedikit perubahan saja yang diperlukan," katanya.

Apapun, beliau sedikit terkilan berikutan tidak dapat bersama skuad itu pada tiga perlawanan Kumpulan B, termasuk pertemuan berdepan PDRM dan PKNS disebabkan mengikuti kursus kejurulatihan di Indonesia.

Namun, beliau sempat bersama pasukan Hang Tuah ketika berdepan FELDA di Melaka pada perlawanan terakhir kumpulan yang menyaksikan MU membelasah lawan dengan keputusan 6-1 di Stadium Hang Jebat.

MU musim ini dibarisi ramai bintang tempatan termasuk Khairul Fahmi Che Mat, S Chanturu, Azmi Muslim, G Gopinathan, Ahmad Fakri Saarani, Faderin Kadir, Nur Shamil Abd Ghani, Faris Shah Rosli dan Mohd Zamir Selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 3:48 PM