ZAMIR (kiri) hilang fokus ketika gol kedua Selangor. FOTO/FAIL
ZAMIR (kiri) hilang fokus ketika gol kedua Selangor. FOTO/FAIL
Syafiq Aznan

 

KESILAPAN penjaga gol Melaka United (MU), Zamir Selamat yang menghadiahkan gol kedua kepada Selangor dilihat menjadi titik tolak kepada kegagalan pasukan itu untuk terus memberi saingan pada aksi terbabit.

Situasi itu diakui pengendali MU, Eduardo Filipe Almeida yang menjelaskan jaringan yang tidak dijangka itu menyebabkan mereka hilang cengkaman pada aksi terbabit sekali gus tidak mampu untuk mencetus kebangkitan.

“Sebelum gol itu, kami sudah memiliki momentum yang agak baik untuk memulakan babak kedua kerana kami tidak memberi ruang kepada Selangor untuk melakukan gerakan.

“Namun, kesilapan dibolosi gol kedua itu kami mengubah segalanya dan walaupun kami cuba bangkit dengan mengambil risiko untuk memburu gol penyamaan, ia tidak menjadi sehingga kami dibolosi dua lagi gol,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Tiago Gomes meledak gol penyamaan pada minit ke-28 untuk memadam kelebihan jaringan Rufino Segovia seawal minit ketujuh.

Namun percubaan Zamir yang cuba mengeluarkan bola tetapi sampai kepada Syahmi Safari yang meledak gol kedua, menyebabkan MU kehilangan momentum sekali gus dibolosi dua lagi gol dalam 25 minit terakhir perlawanan.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Portugal itu enggan menyalahkan penjaga golnya itu sambil menegaskan dia tidak kecewa dengan persembahan anak buahnya walaupun dibelasah 4-1 oleh skuad The Red Giants.

“Saya cuma kecewa dengan keputusan yang dilakar ini. Saya tidak kecewa dengan Zamir kerana saya tahu dia juga tidak mahu perkara sedemikian berlaku.

“Apapun, saya mengharapkan anak buah saya dapat melupakan kekalahan ini dan memandang ke hadapan untuk mengharungi aksi seterusnya,” katanya.

MU akan berdepan cabaran Negeri Sembilan pada aksi di laman sendiri, Sabtu ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 5:19 PM